Anthony Loke Siew Fook

SHAH ALAM – Mana-mana parti yang cuba merampas kerusi DAP dan Pakatan Harapan (PH) yang dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti dianggap pesaing dan musuhnya, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

“PH ada empat parti, kita akan bekerjasama dan kita akan lawan dengan parti lawan yang bertanding dengan kita.

“Yang bertanding dengan kita itu musuh politiklah. Terpulanglah (PN dan BN), setiap yang masuk kawasan untuk bertanding, itu sudah tentu pesaing kita, saya tak mahu komen apa yang dia kata,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan bahawa semua parti komponen perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin mengingatkan parti komponen PN termasuk Pas supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

Ketika ditanya pemberita tentang kenyataan Muhyiddin itu tanpa menyebut PH salah satu musuh politik mereka, Anthony bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Terpulanglah, kena tanya Tan Sri Muhyiddin, itu kenyataan beliau, kita tiada komen kepada kenyataan beliau.

“Selagi untuk PH kita jelas, kita tiada rundingan dengan mana-mana parti daripada PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette