kerajaan komunis
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang prejudis terhadap layanan diterima oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara.

Presiden Pas itu berkata, persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh PH  seolah-olah mereka lupa dengan layanan yang diberikan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar semasa menjalani hukuman penjara sebelum ini.

Ahli Parlimen Marang menempelak PH yang mengkritik Najib dan melupakan layanan yang diterima oleh Anwar sebagai amalan poltik tidak matang.

“Para pemimpin PH pula hangat mempertikaikan layanan terhadap Dato’ Seri Najib yang telah dipenjarakan, seakan mereka melupakan bagaimana layanan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga pernah dipenjarakan?

“Keadaan ini menandakan politik yang tidak matang atau Melayu mudah lupa, namun bukan semua Melayu,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan.

Menurut Abdul Hadi, Islam yang bertamadun telah ditunjukkan oleh al-Quran dan teladan daripada Rasulullah SAW yang diwahyukan supaya berpolitik secara matang.

Pada masa yang sama tegas beliau, diperintahkan agar berlaku adil dan rahmat walaupun kepada mereka yang zalim terhadapnya apabila menjatuhkan hukuman jika dibuktikan bersalah atau memaafkan sekiranya mempunyai alasannya.

“Hukuman dalam Islam bukan dengan dendam kesumat, sehinggakan bertindak melampaui batas. Sekiranya melampaui batas, maka seseorang itu berdosa dan akan dihukum oleh Allah SWT pada Hari Kiamat.

“Inilah ciri-ciri yang tiada dalam undang-undang ciptaan manusia.

“Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang ditunjukkan oleh Islam telah diambil oleh tamadun Barat, termasuklah dalam Konvensyen Geneva yang terkenal kini dalam menguruskan krisis antarabangsa,” kata Abdul Hadi.

Sebelum ini Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) selepas beberapa pihak mendedahkan bekas Perdana Menteri itu keluar daripada penjara.

Pihak terbabit mempertikaikan mengapa Najib menerima keistimewaan tersebut sedangkan setiap banduan seharusnya mendapat layanan yang sama.

Kumpulan yang bersimpati terhadap Najib kemudiannya mendedahkan Anwar turut mendapat keistimewaan yang sama ketika menjalani hukuman penjara.

Bagaimanapun Anwar kemudiannya dilaporkan meminta supaya apa yang dilaluinya tidak dibandingkan dengan Najib.

“Jadi, jangan bandingkan (apa yang dialami Najib) dengan apa yang dialami Anwar. Sekiranya, beliau mahu dilayan sama, beliau perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dulu..kemudian baharu dibawa ke pusat rehabilitasi,” katanya pada sidang media di Kelab Wartawan Asing Thailand (FCCT) di Bangkok.

Ketua Pembangkang itu juga menafikan dakwaan pernah menerima layanan VIP di penjara.-MalaysiaGazette