Pas DAP PASrelief
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang membuat kenyataan bahawa orang Melayu gagal memerintah negara perlu ‘disekolahkan’.

Presidan Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun pihak yang membuat tuduhan itu mempunyai ilmu seperti undang-undang namun pada hakikatnya mereka buta sejarah.

“Kenyataan mereka itu menyentuh soal perkauman dan sensitiviti kaum, tanpa mengira kaum yang sangat berperikemanusiaan dan berbudi bahasa kepadanya.

“Seolah-olah telah lupa terhadap bangsanya sendiri yang pernah dizalimi, ketika diangkut oleh penjajah dan diperhambakan di tapak lombong dan ladang-ladang.

“Malah, bangsanya juga pernah dikerah menjadi tentera yang berperang bagi pihak penjajah,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan.

Menurut Abdul Hadi, Islam telah memperkasakan rumpun Melayu di Nusantara sehingga bangsa itu berjaya menegakkan beberapa kerajaan yang bertamadun sebelum kedatangan golongan penjajah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hasil daripada pengaruh Islam tersebut membolehkan orang seperti bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menjadi rakyat Malaysia.

“Jawaharlal Nehru ialah seorang tokoh yang lebih besar daripada Tommy Thomas, tidak lupa untuk menyebutkan pengaruh Islam yang positif kepada masyarakat India dalam bukunya, Discovery of India.

“Thommy Thomas yang dikatakan seorang pakar undang-undang masih belum memberikan penjelasan sikapnya ketika menjadi Peguam Negara terhadap proses pengampunan pemimpin PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terhentinya perbicaraan mahkamah kes rasuah Lim Guan Eng yang masyhur itu, serta terhadap ulasan Tun Abdul Hamid dan tulisan saya.

“Tiba-tiba meletup kenyataan politik Melayu yang dikatakan sangat lemah, maka inilah taraf bekas Peguam Negara yang dilantik oleh Kerajaan PH,” kata Abdul Hadi.

Media sebelum ini melaporkan, Tommy menyelar dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, mengatakan ia menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu.

Bercakap semasa forum di Kuala Lumpur baru-baru ini, Thomas berkata, kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep “ketuanan Melayu”.

“Dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu.

“Selepas dua tahun setengah itu, anda ada persoalan penting untuk diutarakan: Adakah kerajaan Melayu lebih efisien dan lebih baik?

“Biar betul! Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran,” kata Thomas kepada kira-kira seratus hadirin di forum “Dark Forces Towards GE15” yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara selama hampir 20 bulan sewaktu PH menjadi kerajaan, berkata beliau yakin orang Melayu sendiri turut akan bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

“Kerajaan Melayu telah gagal,” katanya, sambil menambah ia harus menjadi naratif yang perlu diangkat oleh pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.-MalaysiaGazette