Rak menjual minyak masak paket bersubsidi 1 kg di sebuah pasar raya di Kuantan mengenakan syarat pembelian tiga paket seorang.

DATA terbaharu dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar inflasi negara masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan. Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat kepada 4.4 peratus pada Julai 2022 berbanding Julai 2021. Peningkatan CPI ini didorong sebahagian besarnya oleh kenaikan harga makanan. Di samping itu, peningkatan kadar inflasi itu juga lebih tinggi berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada Jun 2022. Bukan itu sahaja, firma penyelidikan Kenanga Research turut menjangkakan negara akan terus merekodkan kadar inflasi yang tinggi dalam beberapa bulan mendatang disebabkan oleh penurunan berterusan nilai ringgit.

Justeru, kerajaan telah menetapkan harga siling bagi beberapa barangan kepenggunaan terpilih termasuklah petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi meringankan beban rakyat. Sebagai contoh, peruntukan bagi subsidi minyak masak berpaket pada tahun ini ialah sebanyak RM4 bilion. Untuk rekod, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah lapan  kali ganda tinggi berbanding peruntukan pada 2020 (RM500 juta) serta hampir 2 kali ganda berbanding peruntukan pada 2021 (RM2.2 bilion). Selain itu, menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, jumlah besar bil subsidi dari 2018 hingga 2022 bagi petrol, diesel dan LPG adalah RM7.4 bilion (2018), RM6.1 bilion (2019), RM1.6 bilion (2020) dan RM13.2 bilion (2021).

Manakala jumlah besar subsidi tahunan (termasuk pelbagai jenis bantuan kebajikan) bagi lima tahun lepas RM8.3 bilion (2018), RM7.3 bilion (2019), RM2.7 bilion (2020), RM16.5 bilion (2021) dan RM52 bilion (2022). Dalam erti kata lain, dalam masa 5 tahun sahaja, jumlah besar subsidi negara telah meningkat sebanyak enam kali ganda. Soalan seterusnya, dari manakah kita memperoleh dana untuk membiayai perbelanjaan subsidi negara? Jawapan ringkasnya ialah daripada kantung negara. Meskipun begitu, tahukah anda bahawa sejak tahun 1998, belanjawan negara kita sentiasa mengalami defisit? Dalam kata lainnya, sejak suku abad yang lalu, perbelanjaan negara sentiasa melebihi pendapatan negara.

Soalan berikutnya, bagaimanakah negara ‘menampung’ defisit ini? Salah satu daripadanya ialah melalui hutang. Kendatipun begitu, satu sisi yang jarang kita singkap terutama sekali seputar subsidi ialah ‘kos melepas’. Makna kata, disebabkan kita memilih satu peluang (membiayai subsidi), kita terpaksa melepaskan peluang-peluang lain. Setakat 2022, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan subsidi negara sebanyak RM77.7 bilion. Sekiranya kita mengecualikan kesemua bentuk bantuan yang masih diperlukan rakyat seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat dan Bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM25.7 bilion, peruntukan subsidi negara masih berbaki RM52 bilion.

Kendatipun begitu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa 50% daripada subsidi kerajaan telah dimanfaatkan oleh “kategori orang berada.” Makna kata, negara kita telah mengalami ketirisan melalui mekanisme subsidi tidak bersasar sebanyak RM26 bilion. Persoalan seterusnya, bagaimanakah caranya kita boleh memanfaatkan ‘lebihan’ peruntukan subsidi sebanyak RM26 bilion ini? Sebagai misalan, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangkakan siap pada 2024 bakal menelan kos sebanyak RM472.5 juta.

Sekiranya kita memanfaatkan untuk pembinaan sebuah hospital misalnya, kita mampu membina sebanyak 55 buah hospital daerah baharu (RM26 bilion/RM472.5 juta). Atau bersamaan dengan 4 buah hospital daerah baharu di setiap negeri di Malaysia ini. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.03 bilion melalui Belanjawan 2022. Di mana hampir separuh daripadanya (RM2.17 bilion) diperuntukkan untuk pengubahsuaian dan penaiktarafan institusi di bawah tanggungjawab KPM dan program pembangunan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Kita gunakan contoh kos pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih, Selangor yang menelan belanja sebanyak RM20.7 juta. Melalui mekanisme pemberian subsidi yang lebih tuntas, kita boleh membina sebanyak 1,256 buah sekolah rendah baharu (RM26 bilion/RM20.7 juta). Makna kata, melalui ketirisan subsidi negara berjumlah RM26 bilion, kita boleh membina sebanyak 89 bangunan sekolah rendah baharu bagi setiap negeri di Malaysia.

Bukan itu sahaja, sekiranya kita melaksanakan program RMT bagi keseluruhan murid sekolah rendah iaitu 2,741,837 orang (setakat 2020), jumlahnya besarnya masih belum mencecah RM10 bilion (RM8.23 bilion). Untuk makluman, semakan kali terakhir kadar RMT ialah pada 7 tahun lalu. Rentetan kenaikan harga barang yang mendadak, KKM telah mencadangkan supaya kadar RMT bagi murid dinaikkan kepada RM4 daripada RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM5 daripada RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Bahkan, dengan mengambil kira cadangan KKM dan menaikkan kadar RMT tersebut kepada
RM5 bagi setiap murid, ketirisan rentetan pemberian subsidi tidak bersasar sebanyak RM26 bilion tersebut masih mampu menanggung program RMT percuma bagi setiap murid sekolah rendah di negara ini bagi tempoh dua tahun! Iaitu pada kadar RM13.71 bilion setahun.

Selain itu, program RMT sebegini juga bakal mengatasi masalah kebantutan seperti yang digariskan dalam makalah ringkas terbitan UNICEF bertajuk ‘Menangani Krisis Pemakanan Malaysia Selepas Covid-19: Masa Untuk Perlindungan Sosial Berfokuskan Nutrisi’ pada November 2020. Malahan, menurut UNICEF, kadar kekurangan zat makanan di Malaysia dalam kalangan kanak-kanak berkemungkinan diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 akibat penggantungan program pemberian makanan di sekolah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pendeknya, terdapat keperluan yang begitu mendesak untuk menyasarkan subsidi secepat dan setuntas mungkin.

Sebagai langkah jangka masa pendek misalnya, kita boleh memanfaatkan mekanisme pindahan tunai melalui pangkalan data sedia ada seperti Bantuan Keluarga Malaysia. Selain itu, bantuan bersasar ini seeloknya diberikan secara bulanan dan bukannya secara sekali beri. Manakala dalam jangka masa sederhana dan panjang, kita boleh memanfaatkan aplikasi sedia ada seperti MySejahtera dengan mempancang fitur kupon makanan untuk membeli minyak masak bersubsidi. Bak pepatah orang Asal Amerika, ”kita tidak mewarisi bumi daripada nenek moyang kita; kita hanya meminjamnya daripada anak-anak kita”.

 

Dr Mohd Zaidi Md Zabri
Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya