Keadaan motosikal mangsa yang maut dalam konvoi motosikal 14 sahabat selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kenderaan sebelum dirempuh kereta di Kilometer 202.9 Lebuhraya PLUS (arah utara), tengah malam tadi.

ALOR GAJAH – Konvoi motosikal 13 sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kenderaan sebelum dirempuh kereta di Kilometer 202.9 Lebuhraya PLUS (arah utara), tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Nasrul Adnan, 18, yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur bersama 12 rakannya yang lain meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, setibanya di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 telah melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Pajero di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terjatuh sebelum digilis sebuah Perodua Bezza yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa yang beralamat di Hulu Kelang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai jenis Mitsubishi Pajero itu diminta tampil membantu siasatan.

“Rakan-rakan si mati yang turut sama berkonvoi dan orang awam yang melihat kejadian turut tampil memberi keterangan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.