KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Kali ke-44 bagi tahun ini.
Kejuaraan itu diraih selepas UPM berjaya memungut 18 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, beliau berbangga dengan pencapaian staf atlet universiti itu yang berjaya melayakkan UPM menjadi juara keseluruhan SUKUM 2022.
“Ini kali pertamanya UPM berjaya menjadi juara dan saya berterima kasih kepada seluruh warga UPM terutamanya staf atlet UPM dan sukarelawan yang membantu dalam menjayakan penganjuran SUKUM di sini,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, penganjuran SUKUM adalah sebagai wadah untuk merapatkan hubungan dan kekeluargaan sesama institusi pengajian tinggi dalam negara melalui sukan serta mengangkat budaya sukan di institusi masing-masing.
“Saya percaya melalui acara sukan seperti SUKUM dapat meningkatkan lagi daya tahan mental dan fizikal sumber manusia selain berupaya meningkatkan indeks kesejahteraan dalam kalangan staf,” ujarnya.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Univerisiti Malaysia Perlis dengan 17 emas, 15 perak dan 19 gangsa.
SUKUM yang berlangsung selama lapan hari itu mempertandingkan sebanyak 18 acara sukan dan menawarkan sebanyak 136 pingat emas, 136 pingat perak dan 196 pingat gangsa.
Selain itu, seramai 400 sukarelawan terlibat pada SUKUM 2022. – MalaysiaGazette