Peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga barang perlu diberi perhatian kerajaan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Golongan muda di negara ini menaruh harapan agar kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup dalam pembentangan Bajet 2023.

Bajet 2023 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini.

Rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette hari ini mengakui tahu tentang cabaran yang dihadapi kerajaan dalam memulihkan dan merangsang semula ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Namun, mereka yakin Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sama sekali tidak akan meminggirkan permintaan rakyat.

Nur Athirah Azizun Abdullah

Pekerja swasta, Nur Athirah Azizun Abdullah, 30, berharap bantuan bagi golongan B40 seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) wajar ditingkatkan selaras dengan kenaikan semasa harga barang keperluan.

Dia mencadangkan kenaikan itu dibuat mengikut umur dan keupayaan pendapatan penerima penerima bantuan itu.

Katanya, bantuan BKM itu cukup bermakna kepada golongan B40 sepertinya apatah lagi ketika ekonomi keluarga masih belum pulih sepenuhnya, ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ekonomi keluarga B40 semakin sukar ekoran kenaikan harga barang.

‘Saya pernah dapat BKM sebanyak RM350 sebab ketika itu belum ada tambahan RM50 seperti diumumkan sebelum ini. Saya harap kerajaan naikkanlah BKM itu mengikut peringkat umur dan keupayaan seseorang itu agar dapat membantu golongan B40 seperti kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Nur Athirah juga melahirkan harapan yang tinggi kepada kerajaan supaya segera membaiki dan memulihkan ekonomi negara seperti dulu.

 

Izwan Rafie

Seorang lagi pekerja swasta, Izwan Rafie, 39, yang juga seorang ketua keluarga berkata, isu pendidikan anak-anak menjadi keutamaannya dan mahu kerajaan cakna dalam memberi peruntukan sewajarnya.

Katanya, dia cukup terkesan dengan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tular baru-baru ini kerana sukar mendapatkan tempat tinggal atas faktor kewangan.

Oleh itu, pada Belanjawan 2023, saya mahu kerajaan meningkatkan bantuan pendidikan khususnya anak-anak B40 di IPTA. Tengoklah kemampuan kemampuan kewangan mereka, bantulah mereka.

Azreem Abdul RashidAzreem Abdul RashidPengusaha kedai makan, Azreem Abdul Rashid, 34, pula menanti-nantikan ‘durian runtuh’ daripada kerajaan pada pembentangan Bajet 2023 tidak lama lagi.

Beliau yang mengusahakan kedai makan sejak dua tahun lalu berharap kerajaan menyediakan dana pembiayaan mikro bagi membolehkan dia mengembangkan lagi bisnesnya.

“Untuk Bajet 2023 ini, saya sebagai orang muda berharap pihak kerajaan dapat membantu kami ini untuk berniaga.

”Saya harap ada peruntukan yang dapat diberikan kepada peniaga sebab selepas pandemik Covid-19 ini ramai yang tidak ada pekerjaan.

“Contohnya, bagi modal dalam membiayai perniagaan. Sebelum ini saya tidak pernah terima bantuan daripada kerajaan. Sewaktu saya mulakan perniagaan kedai makan ini pun saya guna modal sendiri,” ulasnya. – MalaysiaGazette