Mohamad Puad Zarkashi.- Foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan pasukan khas terhadap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu didedahkan kepada umum.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tidak ada apa yang hendak disembunyikan berhubung apa yang ditulis oleh Tommy mengenai pengalamannya ketika menjadi Peguam Negara sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan.

“Bocor lagi dokumen kerajaan. Kali ini Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesyorkan laporan pasukan petugas khas terhadap buku Tommy Thomas tidak didedahkan kepada umum.

“Apa yang mahu disembunyikan oleh AGC. Buku Tommy Thomas adalah bukti dan pengakuan nyata berlaku campur tangan perlantikan Ketua Hakim termasuk Peguam Negara. Pelik betul melihat tingkah laku AGC,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri  Rengit.

Sebuah portal berita semalam menyiarkan laporan mendakwa AGC telah mengemukakan syor agar tidak mendedahkan hasil siasatan terhadap buku bertajuk ‘My Story:Justice in the Wilderness’ kepada umum.

“Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.

“Ini kerana pasukan petugas khas diwujudkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 8 Oktober 2021 selaras
dengan pelaksanaan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan,” lapor berita itu.

Sebelum ini banyak pihak mahu hasil siasatan yang dilakukan oleh petugas khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan didedahkan kepada orang ramai.

Ini berikutan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, pasukan tersebut telah mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Untuk rekod, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.

Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – MalaysiaGazette