Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini telah menetapkan 17 Oktober depan bagi keputusan permohonan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi semakan terhadap keputusan membela diri pertuduhan olehnya dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad digabung bersama.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah memutuskan pasangan suami isteri itu membela diri atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Difahamkan permohonan penggabungan kes itu akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini di hadapan Pesuruhajaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid pada 17 Oktober ini.

Bung dan Zizie sebelum ini telah memfailkan permohonan secara berasingan untuk menyemak dan mengetepikan keputusan mereka untuk membela diri kes rasuah itu, mereka turut memohon Mahkamah Tinggi untuk memeriksa rekod prosiding perbicaraan terhadap mereka sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 7 Oktober depan bagi sebutan pemindahan permohonan Zizie manakala Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan 17 Oktober ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan permohonan semakan.

Setakat ini, mahkamah turut melapangkan tarikh 14 Oktober depan yang sepatutnya merupakan hari pembelaan diri kes rasuah itu.

Bung yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015. – MalaysiaGazette