Justin (berdiri dua dari kiri) menunjukkan memorandum yang ditandatangi dengan di saksikan Wan Ahmad Fayhsal pada majlis menandatangni Perjanjian Persefahaman antara Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan Energy Abdolute Thailand (EA) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) menandatangani perjanjian bersama Energy Absolute Thailand (EA) untuk mewujudkan syarikat kerjasama (JV) di sini bagi memasuki industri kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu (RE) di Malaysia.

Pengarah Urusan CFMB, Datuk Justin Lim berkata, syarikat JV berkenaan akan menyediakan penyelesaian mobiliti yang lebih hijau di negara ini serta memacu lebih banyak projek EV dan RE bagi memenuhi aspirasi rendah karbon negara.

“Ia bakal membuat pelaburan anggaran RM5 bilion secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan pembawaan masuk bas elektrik dalam bentuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dijangka pada separuh tahun pertama 2023.

“Kami memiliki perancangan untuk menukarkan kira-kira 30,000 bas sekolah di negara ini kepada bas berkuasa elektrik dalam tempoh 10 tahun.

“Fasa kedua pula melibatkan pembangunan fasiliti pembuatan bateri di sini. Kami berhasrat untuk mereplikasikan kejayaan yang dicapai EA dalam mobiliti elektrik di Thailand ke negara ini,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kerjasama berkenaan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pembekal bas dan koc utama tempatan, Genting International turut menyatakan hasrat untuk membeli 200 unit bas daripada syarikat baharu itu, melibatkan anggaran nilai RM200 juta.

Menurut Justin, penubuhan syarikat JV itu dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, dengan pegangan pada kadar 50:50 antara CFMB dan EA buat masa ini.

“Bagaimanapun ada pelabur berpotensi yang berminat turut untuk memegang pegangan kecil dan kami akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Justin menandatangani perjanjian berkenaan dengan disaksikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fyhsal Wan Ahmad Kamal.

Turut hadir bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Redzuan Md Yusof. – MalaysiaGazette