Ketua Pegawai Eksekutif (CIMB) ,Datuk Abdul Rahman Ahmad berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persafahaman antara CIMB Bank Berhad, Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) di Hotel ST Regis, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) mengumumkan komitmen berterusan dalam menyokong dan mendorong pemulihan dan pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pembiayaan sebanyak RM30 bilion menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, komitmen itu melibatkan perjanjian kerjasama antara CIMB, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menyalurkan pembiayaan serta skim jaminan yang akan memacu pertumbuhan PKS untuk memberi peluang pasca pandemik, seiring dengan momentum pemulihan ekonomi.

Ia melibatkan Program Pembiayaan CIMB-CGC, Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dan Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

“Kami sentiasa meningkatkan sokongan untuk semua pelanggan kami termasuk PKS.

“Pembiayaan PKS yang diperuntukkan sebanyak RM30 billion akan mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu kumpulan ekonomi penting ini bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai rakan kongsi kepada pelanggan PKS dan melakarkan fasa pertumbuhan seterusnya pasca pandemik.

“Sebagai sebuah organisasi dan pengantara kewangan yang didorong oleh tujuan, kami dengan gembira dapat bekerjasama dengan SJPP dan CGC dalam membantu memperkasakan aktiviti ekonomi dengan menawarkan satu set skim jaminan kepada perniagaan untuk terus kekal berinovasi dan berkembang dengan lebih pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara CIMB, Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Abdul Rahman menambah, Program Pembiayaan CIMB-CGC adalah terbuka untuk pembelian dan pembiayaan semula hartanah di mana pelanggan boleh menjana semula aset mereka untuk modal pusingan sehingga 150 peratus daripada nilai hartanah.

Jelas beliau, PGGS pula adalah skim yang akan diuruskan oleh SJPP di mana ia akan menyediakan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus untuk kemudahan pembiayaan bank sehingga RM20 juta.

Menurutnya, jumlah peruntukan had skim ini adalah sehingga RM30 bilion.

“Yang ketiga adalah LCTF di mana selaras dengan agenda nasional untuk menggalakkan kelestarian negara, sebanyak RM100 juta telah kami komitedkan untuk mendorong perusahaan termasuk PKS agar menerapkan amalan karbon rendah dan kelestarian.

“Pelanggan akan memanfaat pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM10 juta dengan tempoh bayaran balik mampu milik sehingga 10 tahun pada kadar faedah rendah sehingga lima peratus setahun.

“Dengan penyelesaian kewangan yang baru dilancarkan dan dipertingkatkan ini, kami percaya bahawa kami akan mampu mengembangkan dan mengukuhkan lagi pelanggan-pelanggan PKS,” katanya. – MalaysiaGazette