KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu) harus membubarkan parti itu dan masuk ke dalam UMNO secara beramai-ramai jika benar-benar ikhlas mahu menyatukan orang Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, usaha menyatupadukan orang Melayu tidak akan berjaya jika terlalu banyak parti mewakili kaum tersebut.
“Jika mereka betul-betul ikhlas ingin menyatupadukan orang-orang Melayu, maka bubarkan Bersatu dan kembali ke pangkal jalan, masuk semula UMNO secara en-bloc dan UMNO akan tentukan penerimaan semula ini.
“Sebab untuk menyatupadukan orang-orang Melayu, tidak boleh ada banyak parti Melayu terutama parti-parti serpihan seperti Bersatu, Pejuang dan sebagainya,” kata Isham.
Menurut beliau, kewujudan dua parti iaitu UMNO dan Pas sudah memadai untuk mewakili orang Melayu pada waktu ini.
Tambah Isham, terlalu banyak parti akan menyebabkan orang Melayu bertelingkah dan berpecah.
Justeru katanya, jika Bersatu ikhlas untuk kembali ke pangkal jalan dalam perjuangan orang-orang Melayu dan masuk UMNO semula mereka tidak boleh desak untuk diberi kerusi pula.
“Cadangan Bersatu untuk bekerjasama dengan UMNO hanya untuk minta kerusi di kala mereka (Bersatu) tertekan dan takut kalah bukanlah suatu cadangan yang ikhlas mahupun praktikal.
“Akar umbi UMNO tidak akan sokong pengkhianat yang meninggalkan UMNO dulu semasa UMNO susah dan hanya datang semula ketika mereka iaitu pengkhianat dan pelompat parti (PPBM) ini terdesak dan takut ditolak rakyat dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang meminta Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih cermat mengeluarkan kenyataannya mengenai musuh bersama Perikatan Nasional (PN).
Menurut Hashim, Muhyiddin harus mengutamakan kepentingan ummah dan bekerjasama dengan UMNO pada pilihan raya umum akan datang, kata rakan gabungan Perikatan Nasional (PN), Pas. Hashim berkata, UMNO bukan musuh mereka.
Hashim berkata, Bersatu mesti menghentikan serangannya terhadap UMNO untuk mengelakkan keretakan lebih teruk dalam masyarakat Melayu Islam.
Ketua kerohanian Pas itu berkata Bersatu dan UMNO harus melupakan perbezaan masa lalu mereka dan menganggapnya sebagai ujian sebaliknya untuk diatasi demi kebaikan bersama masyarakat Melayu Islam mereka. – MalaysiaGazette