Mohd Khairuddin menyampaikan bantuan kepada ibu Allahyarham Muhaimi yang meninggal dunia dalam kemalangan ketika mangsa jalan raya.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) meminda Akta Pekerja bagi mengambil kira pekerja P-Hailing sebagai pekerja kontrak.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan pembelaan hak pekerja berkenaan yang sentiasa terdedah dengan risiko kemalangan.

Katanya, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira hak dan nasib mereka yang berdepan risiko kemalangan setiap kali keluar bekerja.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan persatuan atau wakil P-Hailing di Selangor untuk membantu golongan ini.

“Mereka akan dicarum di bawah Skim Insuran Hayat Selangor (INSAN) sepertimana yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melawat keluarga Allahyarham Muhaimin Mohd Said yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika menghantar makanan.

Kemalangan Sabtu lalu itu membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan Muhaimin manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera parah.

Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, kira-kira jam 2 petang membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal.

Menurut Mohd Khairuddin, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada dua keluarga yang menjadi mangsa kecuaian pemandu jalan raya dalam kejadian lalu, selain menggesa supaya disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Tambahnya, Program Bantuan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang berjumlah RM2 juta setahun akan diteruskan kepada mereka yang layak memohon dalam kalangan P-Hailing Selangor. – MalaysiaGazette