Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan dengan (dari kiri), Sultanah Kelantan, Che Puan Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Maha Mulia Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini di Hotel Marriot Putrajaya mempamerkan beratus-ratus koleksi tekstil daripada pelbagai negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan majlis simposium itu, manakala Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan ucaptama majlis ini, hari ini.

Tuanku Azizah yang juga merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah, amat penting untuk terus memelihara kraf tradisional supaya tidak menjadi peninggalan masa lalu.

“Kita perlu terus mencari jalan untuk mengekalkan seni dan kraf kita. Cabarannya ialah bagaimana untuk menggalakkan penjaga budaya kita untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan mereka bagi memastikan budaya dan tradisi kita tidak berhenti atau mati bersama mereka.” titah baginda ketika menyampaikan semasa ucaptama pada majlis perasmian simposium tersebut.

Bertemakan ‘Celebrating Textiles: A Journey’, simposium  Yayasan Tenun Pahang Diraja selaku tuan rumah menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara ASEAN dan rantau lain.

Majlis dwitahunan ini menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Perempuan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkenan melihat seni tekat benang emas pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2022.

Selain itu, terdapat juga demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, simabitan Sabah, pua kumbu Sarawak, anyaman mengkuang, ukiran kayu dan lain-lain serta jualan pelbagai kraf.

Indonesia merupakan penganjur pertama simposium itu pada tahun 2005 diikuti Filipina (2009), Malaysia (2011), Vietnam (2013), Thailand (2015), Brunei (2017) dan terakhir di Indonesia pada 2019.

Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan untuk memajukan Tenun Pahang Diraja bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja seni dan penenun. – MalaysiaGazette