Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara syarikat Computer Forms (Malaysia) Berhad dan Energy Absolute Public Company Limited di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Dewan Pemuda Pas (DPP) tetap akrab meskipun terdapat isu yang boleh dikaitkan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sayap kedua-dua parti itu masih boleh bekerjasama dalam apa jua keadaan ketika ini.

“Saya Timbalan Ketua Pemuda PN. Ketua Pemuda saya adalah yang berhormat Ustaz Fadli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda Pas Malaysia.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan beliau, kita tidak ada sebarang ketegangan…kita ikut arahan daripada parti induk.

“Jadi, kami buat kerja kami seperti biasa, kecuali ada arahan yang lain. Setakat ini tidak ada sebarang arahan yang tidak ada kerjasama atau sebaliknya, kita dalam satu saf untuk berdepan PRU15,” katanya.

Beliau  berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangni Perjanjian Persefahaman antara Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan Energy Abdolute Thailand (EA) di sini, hari ini.

Beliau menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dijadualkan menyempurakan majlis tersebut.

Soalan itu ditanya selepas presiden parti kedua-duanya dilihat seolah-olah berbeza pendapat tentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu terus mengadakan kerjasama Ta’awun dengan BN edangkan Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional mengisytiharkan BN sebagai musuh yang perlu ditentang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin membuat kenyataan itu pada majlis ulang tahun keenam Bersatu  kelmarin.

Beliau turut memberitahu, akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi bagi membincangkan kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan Pas yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO sejak kebelakangan ini.

Muhyiddin turut mahu mengadakan perbincangan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara Pas dan UMNO.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebagai sayap parti Bersatu, Armada bersedia menerima apa sahaja arahan yang dikeluarkan oleh parti untuk persiapan pada PRU15.

Meskipun terpaksa bertembung dengan BN pada pilihan raya itu, mereka tetap akan bertanding meskipun bukan kemahuan Bersatu atau PN untuk berseteru dan perkara itu telahpun cuba untuk dielakkan.

“Jadi, kita kenalah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan…dengan Barisan ke (BN), dengan GTA (Gerakan Tanah Air) ke dengan PH ke kita ready saja, itu lumrah dalam politik bukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette