Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Israel sebagai entiti yang mengamalkan dasar apartheid dan perlu dihentikan adalah satu penyataan tepat dan wajib disokong.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, dasar apartheid yang diamalkan oleh Israel perlu dihapuskan serta-merta.

Menurutnya, apartheid adalah suatu jenayah, perlakuan ganas dan diskriminatif Israel ke atas warga Palestin yang melanggari undang-undang antarabangsa.

“Kami menghargai dan menyokong pernyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 baru-baru ini mengenai isu Apartheid Israel.

“Laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Barat PBB ( U.N. Economic and Social Commission for Western Asia – ESCWA), 2014 jelas merekodkan bukti dasar penjajahan, apartheid dan penghapusan etnik Israel ke atas Palestin.

“Oleh kerana itu, tuntutan Malaysia agar apartheid Israel dihentikan adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa . Malah, Israel mesti didakwa di mahkamah dunia atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah apartheid,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi memberitahu, penegasan dalam ucapan Perdana Menteri terhadap penindasan yang dilakukan oleh Israel ke atas Paslestin amat dialu-alukan sebagai penzahiran sikap penentangan Malaysia yang konsisten mengenai penjajahan Israel di Palestin.

Ujarnya, Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 yang dilulus pada 2016 dengan undian 14 – 0 ( US berkecuali ) untuk menolak penempatan haram Israel ke atas Wilayah yang diduduki di Palestin adalah bukti jelas PBB tidak berdaya untuk bertindak.

Sikap kuasa dunia yang mengamalkan dwi standard dan hipokrit terkait isu perang Russia dan Ukraine ketimbang kezaliman dan kekejaman Israel keatas Palestin yang sudah lebih tujuh dekad berlarutan, sangat jelas, katanya.

Tambah beliau, pernyataan kekesalan dan kritikan Malaysia terhadap badan dunia yang melayani isu Palestin secara berat sebelah berbanding perang di Ukraine sangat tepat dan perlu diulang-ulang dalam semua forum antarabangsa.

“Kami mengharapkan sentuhan ucapan Perdana Menteri di UNGA ke-77 itu mengenai isu keadilan untuk warga Palestin dan membantah pelbagai layanan zalim Israel keatas warga Palestin di wilayah Palestin yang diduduki (OPT) akan diambil kira oleh dunia dengan serius.

“Sudah sampai masanya ucapan retorik pemimpin dunia setiap kali disidang UNGA, diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit.

“Tekanan politik dan undang-undang antarabangsa ke atas Israel perlu dilancarkan dengan bersungguh dan tegas,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast