Datuk Siti Zauyah Md Desa. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Md Desa, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai akses secara langsung untuk berbicara dengan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang mengakui keadaan kewangan 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB) berada dalam keadaan tidak baik memberitahu, bukan satu kelaziman untuk seseorang sepertinya memintas pegawai atasan bekas Perdana Menteri itu untuk bercakap dengannya.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tentang kedudukan kewangan 1MDB dan kebimbangan tentang projek usahasama antara syarikat itu dengan Aabar Investment BVI Co.

Sebelum ini, Siti Zauyah memberitahu, kertas cadangan projek usahasama dengan aliran tunai 1MDB telah dilakukan dengan tergesa-gesa.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tentang perkara itu, beliau berkata hanya pengurusan 1MDB sahaja yang berurusan secara terus dengan Najib.

Menurutnya, , beliau beliau telah membangkitkan perkara mengenai kertas cadangan itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Namun katanya, Ahmad Husni memaklumkan bahawa beliau tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

Najib berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Prosiding akan bersambung – MalaysiaGazette