PN
Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang

POLEMIK tercetus dalam Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini apabila Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada masa yang sama, Pas yang juga parti komponen PN berbeza pendapat dengan Muhyiddin. Mereka tetap berpendirian bahawa musuh utama PN adalah Pakatan Harapan (PH).

Situasi itu mencetuskan persoalan tentang hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Muhyiddin dan Pas. Mampukah PN bertahan sekiranya Pas membuat keputusan meninggalkan PN? Bagaimana pula dengan nasib Muhyiddin dan Bersatu?

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani melihat penegasan Muhyiddin itu sebagai satu kaedah untuk melihat kecenderungan Pas sama ada menyokong PN atau ingin bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau berpandangan, sikap Pas yang selama ini ‘main tarik tali’ dalam soal kerjasama politik bersama UMNO dan Bersatu telah menimbulkan dilema dalam PN, lebih-lebih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Dalam hal ini, Pas perlu menetapkan pendirian serta strategi politiknya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

mohd azizuddin mohd sani
Mohd. Azizuddin Mohd. Sani

Pas ketika ini dikritik kerana pendekatan ‘dua kolam’ yang diamalkannya dalam memelihara hubungan dengan Bersatu dan UMNO. Seperti yang diketahui umum, UMNO tetap berkeras menolak sebarang kerjasama politik melibatkan Bersatu.

Sehubungan itu, harapan Pas untuk menyaksikan agenda penyatuan parti-parti Melayu dan Islam sukar dicapai. Jadi, mengapa Pas masih mahu mempertahankan MN walaupun UMNO sendiri dilihat sudah kurang berminat untuk meneruskannya?

Mohd. Azizuddin yang juga pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) percaya tindakan Pas itu lebih bermotifkan usaha mengekalkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada parti pemerintah selepas PRU-15.

“Pas mungkin merangka strategi untuk terus berkuasa, justeru mendorongnya berusaha menjaga hubungan dengan kedua-dua parti,” jelasnya.

Tidak dinafikan polemik terkini dalam PN telah menghangatkan suasana antara para pemimpin dan ahli Pas serta Bersatu. Mungkinkah situasi panas itu melarat sehingga menyebabkan Pas meninggalkan Bersatu?

Sekiranya perpecahan berlaku dalam PN, Mohd. Azizuddin tidak menjangka Pas akan bersama UMNO pada PRU-15. Pada pendapat beliau, adalah sukar bagi kedua-dua parti itu bersepakat mengenai pembahagian kerusi terutamanya di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Pertembungan antara Pas dan UMNO di tiga negeri itu sukar dielakkan. Jika Pas keluar dari PN sekali pun, parti itu mungkin bergerak secara bersendirian,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd. Azizuddin berkata, senario itu boleh menjejaskan kekuatan PN yang amat bergantung kepada kekuatan akar umbi Pas. Seandainya Pas membuat keputusan drastik itu, beliau yakin Muhyiddin akan merangka strategi baharu bagi memperkukuhkan PN.

“Mungkin PN boleh menarik penyertaan parti komponen baharu di samping Gerakan, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” jelasnya.

Walau bagaimanapun, selepas pertemuan selama dua jam antara Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi, Mohd. Azizuddin menjangka senario Pas meninggalkan PN tidak akan berlaku.

“Setakat ini kita tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Namun, saya percaya isu-isu melibatkan kedua-dua parti telah diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette