Seorang buruh maut manakala dua rakan sekerjanya cedera parah selepas tertimbus batu bata ketika melakukan kerja memasang longkang di Indera Mahkota 15 Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang buruh maut manakala dua rakan sekerjanya cedera parah selepas tertimbus konkrit batu bata ketika melakukan kerja memasang longkang di Indera Mahkota 15 di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kesemua mangsa merupakan pekerja warga asing dari Rohingya.

Kejadian berlaku pukul 4.09 petang tadi berhampiran Pusat Memandu Elit dan pihaknya telah menghantar dua jentera digerakkan bersama tujuh anggota bomba dalam operasi menyelamat.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan jentera untuk menolak batu-bata yang menghempap mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Zulfadli, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan proses bedah siasat. – MalaysiaGazette