BATU MAUNG – Perasaan gelisah sentiasa menyelubungi penduduk di Kampung Batu Maung di sini, setiap kali hujan lebat kerana bimbang banjir melanda kawasan perumahan mereka.
Lebih teruk apabila ada dalam kalangan mereka terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit akibat kerosakan harta benda susulan kediaman kerap dinaiki air.
Menurut Hasiah Mat Isa, 64, hujan lebat dalam tempoh kurang 30 minit sudah menyebabkan kediamannya akan dinaiki air hingga ke paras paha.
Jelas suri rumah itu, meskipun sudah meninggikan bahagian hadapan kediaman keadaan sama masih berulang dan ia berlaku sejak tahun 2016.
“Tengok cuaca gelap saja kami empat beranak termasuk kakak saya trauma kerana bimbang hujan lebat akan mengakibatkan kawasan perumahan kami ditenggelami banjir.
“Kawasan lain bila-bila sekali baru banjir tapi kampung ini hujan lebat dalam tempoh 30 minit mesti banjir jadi macam mana kami tak risau?
“Sehingga kini saya tak berani keluar melancong jauh-jauh kerana bimbang hujan lebat rumah akan ditakungi air selama beberapa hari sementara saya pulang dan ini secara tidak langsung merosakkan lagi harta benda yang ada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Hasiah, pelbagai aduan telah dibuat terhadap pemimpin tempatan serta agensi kerjaaan namun tiada suara penduduk tidak dihiraukan.
Mengulas lanjut Hasiah turut meluahkan kebimbangan monsun Timur Laut yang dijangka berlaku November ini.
“Hujan biasa pun kediaman kami dah banjir air apatah kalau monsun Timur Laut nanti, mungkin rumah saya tenggelam sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Saliza Saidin, 48, berkata, mereka kena sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir memandangkan air naik tanpa dijangka.
“Jika hujan lebat, air akan naik dengan cepat hingga kita pun tak sempat nak simpan apa-apa barang penting termasuk dokumen.
“Keadaan kami kat sini memang perit untuk ditelan tetapi apakan daya tiada yang peduli dengan nasib penduduk,” katanya.
Selain itu, Saliza turut mendakwa kejadian kejadian banjir di kampung mereka berlaku selepas lebuhraya yang menghubungkan Batu Maung dengan Bayan Lepas dibina.
Siti Hara Ismail, 65, turut meluahkan kebimbangan berkaitan isu sama walaupun kediamannya tidak mudah dinaiki air berbanding mereka yang menetap di bahagian hadapan kampung.
Bagaimanapun, apabila laluan hadapan kampung dinaiki air ia menyukarkan rutin harian mereka untuk ke tempat kerja serta untuk keluar masuk bagi mendapatkan bekalan makanan mahupun ubat.
“Kawasan rumah mak cik tinggi sikit jadi air lambat naik kecuali hujan lebih dua jam dan ditambah dengan keadaan air pasang.
“Keadaan itu buka saja menyukarkan anak untuk pergi kerja malah akan menyebabkan kami terkandas dalam air dan perlu menunggu bantuan pihak berkaitan untuk datang membantu mengeluarkan kami.
“Cuba bayangkan kalau rumah saya naik air berapa tinggi paras air di bahagian hadapan kampung iaitu laluan keluar masuk kami? Jadi macam mana saya yang dah berusia sebegini nak keluar menyelamatkan diri?,” soalnya.
Siti Hara mengharapkan pemimpin tempatan segera mengambil tindakan menangani masalah banjir di kampung mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan