Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar ketika hadir ke membuat lawatan ke ‘Stagging Point’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kelong Paradise Sabak Bernam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 SEPTEMBER 2022.

SABAK BERNAM – Kelong Paradise Sabak Bernam bakal dijadikan sebagai stesen kapal berlabuh (staging point) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu membolehkan agensi penguatkuasaan itu meningkatkan keselamatan sekitar perairan utara Selangor.

Pemanadangan yang terdapat di Kelong Paradise ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di ‘Stagging Point’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kelong Paradise Sabak Bernam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 SEPTEMBER 2022.

“Kita (mesyuarat MKN Selangor) mencadangkan satu staging point dan Kelong Paradise memang sesuai kerana mereka boleh bertindak segera kalau ada apa-apa aduan.

“APMM boleh bertindak segera jika ada aduan-aduan daripada pelaut, nelayan atau mana-mana pihak yang menggunakan lautan ini (utara Selangor),” katanya pada sidang media di Kelong Paradise, Bagan Nakhoda Omar hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dan Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar.

Terdahulu Noh mempengerusikan mesyuarat MKN Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Tambahnya, cadangan itu bagi memudahkan APMM bersiap siaga dengan lebih efektif untuk melancarkan operasi apabila menerima aduan.

“Sekarang ini APMM ini dia post dalam Selangor berada di Pelabuhan Klang. Satu lagi post di Lumut, Perak. Nelayan selalu mengadu sebab mereka ini ada Zon A, Zon B, Zon C, ada nelayan masuk zon lain atau melanggar undang-undang.

“Sekarang ini kita tak nafikan APMM memang cepat ambil tindakan, kalau dari Pelabuhan Klang bayangkan nak datang ke sini (Sabak Bernam) biasa dua jam,” katanya.

Bagi tujuan itu, menurutnya, MKN Selangor bercadang untuk membina ponton di Kelong Paradise bagi memastikan aset APMM tidak terjejas.

“Kalau sekarang ini tempat naik kapal hanya tangga batu, bot APMM ini kebanyakan diperbuat daripada fiber, kalau bergesel dengan batu takut akan rosak bot itu.

“Sebab itu APMM cadangkan buat satu ponton atau jeti terapung, apabila siap nanti akan memudahkan APMM ambil tindakan. Ponton juga boleh digunakan pelawat-pelawat di Kelong Paradise,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast