MELAKA – Polis Melaka melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM80,724.47 membabitkan 2,151 kertas siasatan yang telah selesai bagi tahun 2004 hingga 2022 hari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata antara dadah yang dilupuskan ialah heroin (913.87 gram), monoacetylmorphines (2.7 gram), cannabis (2,265 gram), methamphetamine (1,388 gram), ketamin (8 gram), cecair mitragynine (327,330 liter), pepejal mitragynine (49,081 gram), nimetazepam (32 gram) dan etizolam (71.81 gram).
“Bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, JSJN Melaka menggunakan khidmat syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang mempunyai peralatan dan kepakaran dalam urusan pelupusan barangan berjadual bertempat di Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Kesemua barang kes yang dilupuskan adalah barang kes yang telah selesai dianalisa oleh Jabatan Kimia dan proses perbicaraan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.- BERNAMA