Sesi perbincangan meja bulat antara peserta dan moderator.

KOTA KINABALU – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Peningkatan Pendayaupayaan Pengguna: Klinik CPR (Cegah, Pantau dan Rawat) Zon Sabah baru-baru ini.

Penganjuran program itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Dekan FSSK UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran tentang hak, tanggungjawab, pengetahuan dan kemahiran pengguna dalam urusan jual beli sama ada secara atas talian atau secara konvensional.

“Ia bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan kupasan mendalam daripada pakar berpengalaman mengendalikan isu sosial kontemporari yang melonjak dalam masyarakat terutamanya ketika era pandemik COVID-19.

“Program ini juga membolehkan individu bertindak atau memberi maklum balas mengikut pengetahuan, kemahiran dan kebolehan dalam urusan jual beli sebenar berdasarkan nilai pendayaupayaan yang telah diterapkan dan mempamerkan tingkah laku pengguna berdaya upaya dalam semua aktiviti jual beli,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pengarah Peringkat Kebangsaan Klinik CPR merangkap wakil MACFEA, Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa berkata, pengguna perlu bijak serta berani dan tidak panik ketika berhadapan dengan penipu dalam talian (scammer).

“Namun, hal ini hanya boleh berlaku jika pengguna mempunyai pengetahuan tentang hak dan berani bertindak.

“Justeru saya berharap, para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu dan mengetahui hak mereka sebagai pengguna tetapi turut boleh berkongsi pengetahuan yang diperoleh kepada keluarga dan sahabat handai,” katanya.

Program yang memperoleh geran daripada MACFEA itu menghimpunkan seramai 31 orang peserta yang sebahagian besarnya pernah menjadi mangsa penipuan pembelian atas talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast