Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan memastikan pada akhir tahun 2022 kesemua kementerian dan agensi berkaitan akan menubuhkan unit MyMudah.

Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama kementerian, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan perniagaan akan mempercepatkan penubuhan Unit MyMudah melalui sesi libat urus, khidmat nasihat dan pembangunan kapasiti dan menyelaras isu-isu yang diterima melalui Kumpulan Kerja Teknikal di bawah PEMUDAH untuk didaftarkan dan diselesaikan di dalam platfom MyMudah.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan MPC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi meneliti penyediaan garis panduan penubuhan dan pelaksanaan Unit MyMudah di kementerian dan agensi kerajaan.
dan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakna-tindakan itu antara langkah yang sedang dan akan diambil bagi melancarkan penubuhan Unit MyMudah.

Menurutnya, EPU dan MPC selaku sekretariat PEMUDAH sedang giat memudahcara penubuhan Unit MyMudah di kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, PBT dan persatuan perniagaan.

Unit MyMudah telah ditubuhkan secara rasmi sehingga September 2022, iaitu sembilan daripada 27 kementerian dan 19 daripada 269 agensi, berdasarkan laporan MPC kepada mesyuarat PEMUDAH pada 26 September 2022.

Bilangan ini dijangka bertambah dalam masa terdekat memandangkan sebilangan kementerian dan agensi lain juga telah memulakan projek penyelesaian masalah dan dalam proses mendaftar Unit MyMudah secara rasmi.

Mustapa berkata, kerajaan telah bersetuju melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 13 Jun 2022 untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua kementerian, agensi persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan.

Mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 18 Julai 2022, memutuskan supaya Unit MyMudah segera ditubuhkan di semua kementerian yang belum melaksanakannya bagi memastikan isu-isu beban peraturan perniagaan dapat diselesaikan dengan segera.

Unit MyMudah berfungsi untuk melaksanakan semakan peraturan secara terancang, teliti, dan menyeluruh bagi menambahbaik persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing industri.

Pada masa yang sama, Unit MyMudah dapat meningkatkan ketelusan, kecekapan dan keberkesanan penyampaian peraturan.

”Komuniti perniagaan yang berhadapan dengan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar disaran untuk menyalurkan maklum balas secara langsung melalui Unit MyMudah di persatuan perniagaan yang berkaitan dan seterusnya akan dipanjangkan kepada Unit MyMudah di kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri dan PBT yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau lagi, mesyuarat PEMUDAH pada 26 September 2022 juga memutuskan supaya fi bagi Ejen yang dilantik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) ditetapkan pada kadar RM500.00 untuk pindah milik hartanah sahaja bagi strata/geran yang telah dikeluarkan tertakluk semua dokumen yang dikemukakan oleh pembeli lengkap dan teratur.

Persetujuan ini tidak bersifat retrospektif kerana ejen juga masih boleh mengenakan caj tambahan, kos dan perbelanjaan lain yang perlu ditanggung oleh ejen contohnya dalam keadaan strata/geran hilang.

Mesyuarat turut memutuskan supaya kerajaan berusaha untuk melindungi hak pembeli rumah (kondominium dan pangsapuri) dengan memastikan pelaksanaan peraturan berkaitan penyerahan pemilikan kosong rumah perlu dilaksanakan secara serentak dengan hak milik strata.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipilih sebagai penanda aras bagi pelaksanaan peraturan ini.

Mustapa berkata, walaupun peraturan ini telah diperkenalkan sejak Jun 2015 namun masih terdapat banyak pemaju yang tidak berjaya mengeluarkan kedua-dua dokumen secara serentak.

Namun PEMUDAH akan terus memainkan peranan yang agresif dalam memudah cara dan mencari penyelesaian bagi menangani kerenah birokrasi serta cabaran-cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan Keluarga Malaysia untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan meletakkan ekonomi negara atas asas yang lebih kukuh, ujar beliau. – MalaysiaGazette