KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengemukakan bajet alternatif terhadap Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan oleh Kerajaan minggu depan.
Sebaliknya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, PH akan mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian berkaitan kewangan dan ekonomi negara.
Menurut beliau, kenyataan tersebut akan diumumkan sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Sebelum tahun 2018 kita ada belanjawan alternatif yang akan menunjukkan penyata-penyata penting. Contohnya penyata pendapatan, kira-kira selain peruntukan. Belanjawan alternatif itu sama lengkap macam bajet yang dibentangkan oleh kerajaan.
“Kali ini kita akan menyatakan pendirian mengenai hal-hal kewangan yang penting dalam negara,” kata Rafizi.
PH dijangka akan mengeluarkan kenyatan tersebut pada 5 Oktober iaitu dua hari sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan pada Jumaat depan.
Menurut beliau, apa yang akan difokuskan dalam kenyataan tersebut adalah mengenai peruntukan, kewangan berhemat dan dasar.
“Saya tak rasa ia boleh dipanggil bajet alternatif sebab kalau bajet alternatif kita kena keluarkan satu dokumen penuh ia termasuk unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan.
“Yang penting ialah kita ada pendirian-pendirian utama tentang isu-isu penting dan kewangan negara. Itu kita akan umumkan,” katanya.
Rafizi ditemui selepas majlis perasmian penubuhan badan pemikir Fellowship In Quantitative and Institutional Research (FIQIR) yang dilancarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Badan itu diterajui oleh empat orang iaitu Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Dr. Fahmi Ngah, Alethea Wong dan Arif Astaman yang menyasarkan penglibatan golongan berusia 29 tahun ke bawah.
FIQIR.my akan mengeluarkan bahan berbentuk video pendek di media sosial terutama TikTok berkaitan isu semasa, dasar dan polisi negara.
Ia juga akan bertindak sebagai pusat sumber kepada pemimpin PKR yang memerlukan bantuan berbentuk maklumat, latihan berkaitan membuat dasar dan pelaksanaan polisi.-MalaysiaGazette