KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
mengatasi isu kenaikan harga tambang penerbangan yang tinggi dengan segera.
Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, harga tambang yang tinggi tidak menggalakkan perkembangan industri pelancongan dan pakej-pakej pelancongan yang dipromosikan agensi pelancongan dan pengembaraan terutamanya pada musim cuti akan terjejas.
“Ianya sudah tentu akan merencat pertumbuhan ekonomi dalam industri pelancongan domestik negara,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, Mavcom mempunyai peranan untuk membendung kenaikan tambang kapal terbang ketika waktu puncak khususnya pada musim cuti sekolah dan cuti perayaan.
“Sekiranya berlaku kenaikan tambang yang tidak munasabah oleh syarikat penerbangan, Mavcom perlu menyiasat dan mengambil tindakan segera supaya perkara sebegini tidak berterusan yang membebankan kami sebagai pemain industri yang ingin ke luar negara bagi misi mempromosikan produk pelancongan yang ada di Malaysia,” katanya.
Menurut Mohd Khalid, syarikat penerbangan sepatutnya mengadakan sesi libat urus dengan rakan strategik mereka seperti persatuan-persatuan pelancongan untuk
mendapat maklum balas sebelum menaikkan tambang.
Tambah beliau, meskipun permintaan semakin tinggi apabila rata-rata rakyat kini bercuti di dalam dan luar negara selepas sempadan dibuka, kenaikan tambang penerbangan tidak sepatutnya tidak terlalu tinggi. – MalaysiaGazette