KUALA LUMPUR – Pemakaian pelitup muka ketika menaiki kapal terbang tidak lagi diwajibkan, berkuatkuasa serta merta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, protokol baharu itu dikuatkuasakan selepas pihaknya menilai situasi semasa Covid-19 serta mengambil kira keperluan terkini.
“Keputusan yang dibuat ini adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini termasuk pengudaraan yang baik dalam kabin, penggunaan penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.
“Susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang,” katanya menerusi kenyataan.
Pada 7 September yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan tidak lagi diwajibkan.
Bagaimanapun Khairy berkata, pemakaian pelitup muka amat digalakkan kepada kumpulan tertentu termasuk mereka yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema.
“Turut digalakkan memakai pelitup muka adalah individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imiuniti rendah dan ibu mengandung dan individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti
warga emas dan kanak-kanak,” jelasnya. – MalaysiaGazette