KUALA LUMPUR – Penyanyi, Yana Yunus tidak pernah melupakan industri hiburan walaupun hampir sedekad menghilangkan dalam dunia seni.
Sebaliknya Yana atau Kameliana Mohd Yunus, 39, masih menyanyi di kelab-kelab dan hotel demi menyara dua orang anak lelakinya, Muiz Mikael dan Muiz Muhammad selepas berpisah dengan bekas suaminya.
“Sejujurnya selama 10 tahun saya tiak aktif menyanyi sebab ingin beri fokus sepenuhnya kepada urusan rumah tangga. Tapi siapa sangka, perkahwinan itu tak bertahan lama. Selepas itu, saya mulakan semula karier seni dengan menyanyi di kelab-kelab dan hotel.
“Selain menyanyi, saya juga ada menjalankan bisnes home spa dan menjual produk lip matte dan bengkung,” katanya.
Sebelum ini, Yana pernah dilamar untuk menjadi artis rakaman syarikat antarabangsa Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) pada usia 15 tahun sebagai penyanyi dangdut.
Pada 2005, Yana menerbitkan album pertama, Demi Cinta dengan menggunakan wang simpanan sendiri. Malangnya, album tidak dikeluarkan atas sebab tertentu.
Justeru sekitar 2018, dia mengeluarkan semula Demi Cinta dan memberi beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti lagu yang terpilih.
Yana menamatkan zaman ibu tunggal selama 10 tahun aoabila memilih Mohammad Raj Kumar Abdul Qayyum.
Dia sebelum ini pernah menggangotai kumpulan Babylon kini muncul dengan single terbaharu berjudul Sahabat.
Lebih istimewa lagi, karya tersebut dilancarkan pada majlis resepsi perkahwinannya di The Hall, KL Gateway Mall baru-baru ini.
“Ini merupakan single ketiga saya dan kalau boleh memang saya nak buat lain daripada yang lain. Jadi saya terfikir untuk mendendangkan lagu ini pada majlis resepsi sekaligus melancarkan lagu ini.
“Sahabat mengisahkan tentang kehidupan saya bersama rakan. Kami terputus hubungan dan saya luahkan perasaan itu menerusi lagu. Daripada sekadar humming terus terhasil sebuah karya yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, Yana yang anggun menyarung persalinan warna champagne rekaan Anas Abdullah, sedondon bersama suami, Mohammad Raj Kumar Abdul Qayyum,43, bersyukur majlis perkahwinannya selesai mengikut apa yang dirancang.
“Kami bernikah pada April lalu dan baharu kini ada masa untuk menganjurkan sebuah majlis bagi meraikan hari bahagia kami bersama rakan-rakan dan keluarga.
“Saya sukakan Raj sebab dia seorang lelaki yang jujur dan baik. Walaupun pada awalnya, saya tidak menaruh hati pada dia namun siapa sangka, ada jodoh antara kami berdua.
“Dia juga tak halang untuk saya terus aktif dalam bidang nyanyian sebab dia suka lihat saya menyanyi. Itu yang buatkan saya mudah untuk terima cintanya sebab kami ada persamaan,” ujarnya yang memberitahu suaminya bekerja di sebuah kilang gula di Seremban, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette