KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) merampas dua lori dengan muatan rokok seludup di Banting, semalam.
Penemuan lori tersebut berlaku apabila anggota APMM Selangor mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurigakan di Perairan Tanjung Gabang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, bot Petir 83 dikerahkan ke lokasi sebelum terserempak dengan sebuah bot pancung enam enjin yang membawa muatan rokok haram.
“Menyedari kehadiran anggota maritim, bot terbabit yang disyaki dinaiki empat kru asing warga Indonesia bersama muatan rokok haram bertindak memecut laju hingga masuk ke perairan negara jiran,” katannya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Selangor di Bandar Sultan Suleiman, Klang, hari ini.
Menurut Siva Kumar, Pemeriksaan APMM di pesisir pantai Batu Laut membawa kepada penemuan dua lori dengan muatan rokok seludup yang berada di tebing sungai.
Bagaimanapun, tambah beliau, pemandu kedua-dua itu berjaya melarikan diri mengelak dicekup pihak berkuasa.
Katanya, pemeriksaan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan 84,700 kotak rokok seludup bernilai lebih RM1 juta termasuk nilai cukai yang tidak dibayar.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dalang, pemandu serta pemilik lori terbabit.
“Siasatan awal mendapati, dipercayai sindiket hanya sempat memunggah kira-kira 70 peratus rokok seludup itu dari bot untuk dimuatkan ke dalam lori yang menunggu di tebing sungai sebelum berjaya memecut laju dan menghilangkan diri selepas menyedari kehadiran anggota Maritim.
“Maritim Selangor juga percaya bahawa sindiket rokok seludup berkenaan membabitkan dalang dari dalam dan luar negara,” ujar beliau.
Siva Kumar berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999. – MalaysiaGazette