Pemandu teksi menunggu giliran mendapatkan penumpang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Menjelang Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, Gabungan Teksi  Malaysia (GTM) memohon bantuan secara one-off sebanyak RM500 daripada kerajaan.

Yang Dipertua (YDP) GTM, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, bantuan tersebut akan dapat membantu ahli-ahlinya dalam kalangan pemandu teksi, kereta sewa, limosin dan pemandu e-hailing yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun sebelum ini.

“Kami adalah antara rakyat yang berpendapatan rendah yang turut terjejas akibat pelaksanaan PKP selama hampir dua tahun.

“Kenaikan harga barang ketika ini juga benar-benar telah memberi kesan kepada kehidupan kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kamarudin Mohd. Hussain (kiri) menunjukkan surat permohonan bantuan yang akan diserahkan kepada MoF.

Terdahulu, Kamarudin hadir di Kementerian Kewangan (MoF) untuk menyerahkan surat permohonan berkenaan.

Selain kepada MoF, permohonan sama turut dibuat kepada Pejabat Perdana Menteri.

Menurut beliau, GTM memiliki 40,000 ahli dalam kalangan pemandu teksi dan 100,000 ahli E-hailing.

Kamarudin berkata, GTM turut berharap kerajaan akan menyediakan skim pinjaman mudah bagi membantu ahli-ahlinya membeli kenderaan baharu untuk dijadikan teksi dan kereta sewa.

“Ini salah satu cara bantu ahli-ahli yang kenderaan mereka sudah lama. Jadi inilah harapan kami dan harap akan dipertimbangkan oleh kerajaan semasa pembentangan Bajet 2023 nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette