LABUAN – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menyumbang lebih RM900 juta kepada kutipan hasil fiskal negara untuk 2021, kata Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
Ketua Pengarahnya Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, sebagai pusat kewangan antarabangsa, Labuan IBFC menjadi salah satu komponen utama ekonomi Malaysia selaras dengan aspirasi kerajaan.
Beliau berkata aktiviti perniagaan dan kewangan Labuan IBFC telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi Labuan, menyumbang lebih 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pulau itu sekali gus menjadi salah satu penyedia pekerjaan terbesar Labuan dengan lebih 6,000 orang yang bekerja di Labuan IBFC.
“Ini menyumbang kepada lebih banyak perbelanjaan tempatan dan mendorong limpahan ekonomi lain di pulau itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pencapaian Labuan IBFC telah dijayakan dengan Labuan FSA menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan bidang kuasa.
Nik Mohamed Din berkata, sejak 30 tahun lepas, bimbingan progresif Labuan FSA telah memainkan peranan penting dalam merangka pembangunan dan pertumbuhan progresif Labuan IBFC, menyumbang secara signifikan kepada pembangunan fizikal dan sosioekonomi Labuan.
Labuan FSA adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan, ia bertanggungjawab ke atas pembangunan dan pentadbiran Labuan IBFC. – BERNAMA