Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), John Riba Marin bercakap pada sidang media mengenai Ops Pemutihan 2.0 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan sekurang-kurangnya 300,000 orang bekerja sendiri (OBS) untuk mendaftar dan mencarum bersama pertubuhan itu sepanjang pelaksanaan Bulan Pemutihan Skim 2.0 Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula dari 1 hingga 31 Oktober ini.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), John Riba Marin berkata, sasaran tersebut ditetapkan melibatkan dua sektor mandatori atau wajib mendaftar dengan Perkeso iaitu Sektor Pengangkutan Penumpang serta Sektor Pengangkutan dan Penghantaran atau Makanan.

Katanya, sehingga 27 September lalu, jumlah keseluruhan OBS yang telah mencarum secara aktif dengan SKSPS adalah seramai 559,474 orang manakala sebanyak 50 peratus daripadanya adalah OBS daripada dua sektor mandatori pengangkutan tersebut iaitu seramai 322,371 OBS.

“Bagaimanapun, penelitian Perkeso mendapati masih ramai lagi (daripada dua sektor mandatori pengangkutan -rider e-hailing) gagal mendaftar dan mencarum bersama Perkeso.

“Kini, kita melaksanakan Bulan Pemutihan 2.0 SKSPS bersempena Sambutan Hari Perkeso ke-51 pada 1 Oktober ini sebagai peluang kedua kepada OBS dua sektor itu untuk segera tampil ke mana-mana 54 cawangan Perkeso kami untuk segera mendaftar dan mencarumkan diri mereka.

“Ia adalah usaha berterusan Perkeso untuk memastikan lebih ramai OBS tampil mendaftar diri, malah pelaksanaannya kesinambungan kejayaan Bulan Pemutihan dan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan pada Mei dan Jun lalu,” kata beliau dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Perkeso di Jalan Ampang hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya mana-mana OBS dua sektor mandatori pengangkutan berkenaan yang pernah mencarum pada tahun sebelum ini juga diingatkan agar segera tampil memperbaharui pencaruman mereka.

Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian sebelum 31 Oktober ini akan disusuli notis amaran dan tindakan mahkamah.

Tambah beliau, berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), mana-mana OBS dalam dua sektor berkenaan yang gagal mendaftar dan mencarum SKSPS boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau didenda maksimum RM10,000.00 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan mereka.

Bagaimanapun, menurut beliau, Perkeso akan memberi peluang dan tidak akan mengeluarkan Notis Amaran SKSPS kepada golongan OBS dalam dua sektor berkenaan yang tampil mendaftar dan mencarum SKSPS secara sukarela sebelum atau pada 30 Oktober ini.

Mengulas lanjut, John berkata, sempena Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 ini, Perkeso menyeru kepada semua OBS yang layak dan masih belum mendaftar agar tampil mencarum secara sukarela.

“Pendaftaran boleh dibuat sama ada menerusi portal MATRIX PERKESO di www.matrix.perkeso.gov.my atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso yang beroperasi di seluruh negara.

“Sekiranya masih beregil dan gagal berbuat demikian sebelum tarikh tutup yang ditetapkan, tiada lagi pengecualian akan dipertimbang selepas bulan pemutihan ini berakhir dan tindakan pendakwaan tanpa kompromi akan dikenakan,” katanya.

Jelasnyaa, menerusi Bulan Pemutihan dari 1 hingga 31 Mei lalu, Sektor Pengangkutan Penumpang menyaksikan peningkatan melebihi 100 peratus kepada 33,992 OBS yang berdaftar dan mencarum SKSPS pada Mei 2022 berbanding 2,425 OBS pada bulan April 2022.

Bagi Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus kepada 37,014 OBS yang berdaftar dan mencarum pada Mei berbanding 3,192 OBS pada bulan April lalu.

“Sepanjang Ops Kesan Kebangsaan yang dilaksanakan pada Jun lalu, sebanyak 162 notis amaran SKSPS telah dikeluarkan oleh Perkeso kepada OBS membabitkan dua sektor mandatori tersebut dan hasilnya hampir majoriti daripada jumlah itu sudah tampil menyemak dan menyelesaikan masalah pendaftaran tersebut,” kata beliau.-MalaysiaGazette