Para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bergambar kenangan pada pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) Tahun 2021 di SMK Presint 18 (1), Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya universiti-universiti awam (UA) di Malaysia dan pihak-pihak berkuasa berkaitan menjadikan proses permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) lebih telus supaya pelajar yang gagal mendapat tempat dimaklumkan apakah punca permohonan mereka ditolak.

Ini kerana ada beberapa kes pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan untuk kemasukan ke UA tidak diterima masuk oleh pusat pengajian, sekali gus menimbulkan persoalan apa kriteria sebenarnya yang diguna pakai oleh pihak universiti dan UPU.

Ketua Wanita Muda Nasional Parti Bangsa Malaysia, Muniraa Abu Bakar berkata, keadaan ini boleh melemahkan semangat individu berkenaan dan boleh juga menyumbang kepada kehilangan sumber daya manusia terbaik negara kita.

Beliau merujuk satu insiden yang tular di media sosial baru-baru ini di mana seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95, gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti ternama negara.

Apa yang pelik dalam permohonan dibuatnya melalui University and Colleges Admissions Service (UCAS), pelajar terbabit berjaya diterima masuk oleh dua universiti di United Kingdom, iaitu University of Sheffield dan University of Nottingham.

”Dalam kes ini, timbul persoalan bagaimana permohonan pelajar cemerlang ditolak oleh UA negara kita, tetapi dengan pantasnya diterima pula oleh universiti-universiti luar negara.

”Mungkin masalah ini juga antara sebab mengapa ramai warganegara kita lebih memilih bermastautin dan mencari rezeki di bumi asing,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengikut laporan sebelum ini, dalam tempoh beberapa tahun lalu, lebih dua juta rakyat Malaysia kini tinggal dan bekerja di luar negara, kebanyakannya dalam bidang profesional.

Menurutnya, PBM percaya antara punca keadaan itu adalah kerana ramai pelajar kita gagal mendapat tempat di UA tempatan, sekali gus memaksa mereka melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan kemudian mendapat tawaran kerja, seterusnya terus menetap di sana.

Untuk belajar di luar negara tanpa bantuan pinjaman atau biasiswa pula, lazimnya hanya pelajar dengan latar belakang kewangan yang kukuh sahaja mampu berbuat demikian atau belajar di institusi pengajian tinggi swasta dalam negara kerana kedua-duanya memerlukan perbelanjaan dan kos yang tinggi.

”Apa akan jadi kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kemampuan kewangan, tetapi cemerlang dalam pengajian, namun permohonan mereka ditolak pula oleh UA negara sendiri.

”Tanpa bantuan mana-mana pihak, mereka mungkin terpaksa terus melangkah ke alam pekerjaan kerana sudah tiada pilihan. Perkembangan ini sememangnya sesuatu yang membimbangkan dan memerlukan penyelesaian segera.

”Kita tidak boleh kehilangan bakat-bakat cemerlang kepada negara asing hanya kerana sistem pengambilan kemasukan ke UA di negara kita ada kelemahannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, PBM menggesa pihak-pihak yang berkenaan supaya dapat melihat isu ini secepat mungkin dan mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum negara kita kehilangan lebih ramai lagi bakat-bakat cemerlang kepada negara luar. – MalaysiaGazette