GEORGE TOWN – Seramai 14 individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket peras ugut penyebaran video bogel menerusi media sosial diberkas dalam beberapa serbuan selama empat bermula pada 16 September lalu.
Kesemua individu berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun itu ditahan di negeri ini, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur menerusi operasi khas yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 76 laporan polis sudah diterima di seluruh Pulau Pinang membabitkan sindiket ini yang terdiri daripada 72 lelaki dan empat wanita yang mana seorang daripadanya adalah warga Indonesia.
Jelas beliau, kebanyakan mangsa bekerja sebagai penjawat awam, swasta, penganggur dan lain-lain dengan kerugian bernilai RM306,101.
Kata Mohd Shuhaily, hasil siasatan dijalankan mendapati kesemua individu itu adalah pemilik akaun yang digunakan dalam sindiket.
“Suspek yang ditahan terdiri daripada pekerja swasta, pelajar, penganggur dan suri rumah.
“Berikutan penahananan ini juga, kita percaya 12 kes di Pulau Pinang dan masing-masing 27 kes di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Johor membabitkan pemerasan video bogel berjaya di selesaikan.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, lapan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan sebuah buku akaun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, sindiket itu menjadikan individu yang melayari laman sosial sebagai mangsa dengan menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti WeChat, Facebook, Whatsapp, MiChat dan Line.
Kata beliau, mangsa akan diajak bagi membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa melakukan aksi ghairah yang dirakam tanpa sedar.
“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak melanggan laman sosial berunsur maksiat atau persundalan supaya tidak menjadi mangsa terhadap aktiviti seumpamanya yang bijak memanipulasi kesalahan dengan mengugut mangsa.
“Orang ramai juga perlu bijak menggunakan kecanggihan teknologi berikutan platform itu yang terbuka kepada aktiviti jenayah tanpa sempadan,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette