Friday, October 11, 2024
Home Utama Bekas YDP MDKL dituduh terima suapan RM100,000

Bekas YDP MDKL dituduh terima suapan RM100,000

Mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM – Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM100,000.

Sebelum kertas pertuduhan dibaca, Mohd Azhar menyatakan beliau mengalami masalah pendengaran di telinga kiri sejak tiga tahun lalu menyebabkan jurubahasa mahkamah terpaksa membaca pertuduhan itu di sebelahnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di MDKL, Banting dan di sebuah rumah serta pusat peranginan di Sepang antara 14 Julai 2017 dan 30 April 2019.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta wnag tunai sebanyak RM60,000 tanpa balasan daripada Azizul pada 14 Julai 2017 di MDKL, Persiaran Majlis, Jalan Sultan Alam Shah, Banting.

Dalam pertuduhan kedua, Mohd Azhar didakwa meminta wang tunai sebanyak RM10,000 pada 6 September 2017 dan bagi tuduhan ketiga dia didakwa menerima suapan sebanyak RM20,000 pada 18 Disember 2017

Tertuduh juga didakwa pada 30 April meminta wang sebanyak RM20,000 daripada Azizul.

Kesemua pertuduhan itu disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 memandangkan dia menghadapi empat kes di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim bagaimanapun, mengurangkan jumlah itu kepada RM50,000 selepas tertuduh yang mempunyai sembilan orang anak masih bersekolah dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarah menyerahkan passport antarabangsa, selain diminta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dengan tempat tinggalnya.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette