Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlangsung sebelum musim tengkujuh melanda negara bermula hujung bulan November.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang telah membuat strategi yang salah apabila menggunakan alasan banjir untuk menakutkan pengundi.

“Pilihan raya ketika menjelang musim banjir, bukanlah bermakna pilihan raya diadakan pada musim banjir melanda seluruh negara. Insya-Allah pilihan raya akan diadakan sebelum itu lagi.

“Pembangkang tersalah langkah menggunakan mitos dan naratif banjir seolah-olah suatu yang tak dapat ditangani dan cuba menakutkan pengundi.

“Ini (alasan) juga pembangkang pernah gunakan ketika pandemik Covid-19 tapi gagal. Akhirnya akibat pembangkang menggunakan isu bencana pandemik sebagai kempen menolak PRN Melaka, Johor dan Sarawak misalnya, pembangkang sendiri tersungkur dihukum oleh pengundi mereka sendiri,” kata Ahmad Zahid.

Tambah beliau, bencana banjir tidak lagi hanya berlaku pada musim tengkujuh.

Sebaliknya ia boleh berlaku pada bila-bila masa seperti di Baling, Kedah pada bulan Julai serta di Pulai, Sri Gading dan Iskandar Puteri di Johor baru-baru ini.

“Banjir di daerah Baling pada berlaku pada bulan Julai lepas. Manakala banjir di Batu Pahat dan Pontian berlaku pada bulan September. Itu pun kelibat pembangkang tidak turun ke kawasan banjir di Pulai, Sri Gading dan Parlimen Iskandar Puteri.

“Ini juga membuktikan banjir boleh berlaku tidak semestinya pada musim tengkujuh dan apabila banjir berlaku sikap sebenar kelibat ahli parlimen tidak dirasai oleh pengundi mereka sendiri.

“Inilah kelemahan pembangkang yang mereka cuba tutupi dengan mitos dan naratif mereka ciptakan,” kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau, isu banjir dibangkitkan pembangkang kerana mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan PRU.

Pembangkang jelas tidak bersemangat meratipkan perkataan bubar seperti yang dilakukan dalam PRU sebelum ini.

Menurut Ahmad Zahid, parti lawan memerlukan masa sehingga tahun depan bagi mendapatkan sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Akibat pengaruh PH dan musuh BN kalangan pengundi undi Melayu semakin merosot, mereka perlu berusaha melengah-lengahkan pilihan raya agar diadakan tahun depan.

“Jelajah pembangkang pula dijangka hanya berakhir pada bulan Februari tahun depan. Pembangkang percaya semakin dilengahkan pilihan raya maka peratus kemerosotan mereka akan dapat dibaiki dan semakin naik populariti mereka.

“Mantera bubar, bubar, bubar oleh PH suatu ketika dahulu kini, hilang dari radar, tidak seperti keyakinan dan semangat mereka pada pilihan raya umum 2018,” kata Ahmad Zahid.

Untuk rekod Ahmad Zahid akan bertemu dengan empat pemimpin tertinggi UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara lain ‘top five’ UMNO itu dijangka akan membincangkan tarikh PRU-15 diadakan.

Ahmad Zahid serta pemimpin BN mendesak agar PRU diadakan tahun ini juga.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast