SHAH ALAM – Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) memberi amaran kepada pengendali siaran langsung Tiktok terkenal, Kaka agar tidak mengeruhkan keadaan berhubung isu Madrasah Darul As-Solihin.
Presidennya, Masridzi Sat menegaskan, tindakan Kaka yang mengumpulkan individu-individu bermasalah dalam platform media sosial hanya memberikan persepsi negatif dan mendatangkan permusuhan.
“Sekarang kita tahu wujud grup Kaka, Kaka dalam perhatian sekarang, sebab mengumpulkan budak-budak yang bermasalah, dalam viral itu mengutuk, mengeji, mengkritik, memburuk-burukkan pondok-pondok.
“Saya tahu tempat saya juga diburukkan. Budak-budak saya yang lari, tak tamat rawatan dikutip budak-budak macam itu, dia viralkan, kita dah rakam semua pergerakan.
“Saya beri amaran kepada Kaka, kalau kamu nak penyelesaian, datang secara baik, berjumpa dengan kita, kalau kau kutip budak-budak buat cerita fitnah, kamu hanya menambah permusuhan,” katanya kepada MalaysiaGazette di Madrasah Darul As-Solihin, Jalan Kebun, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Kaka yang menggunakan platform TikTok berjaya menarik ramai mangsa tampil berkongsi pengalaman didera ala ‘militan’ di pusat pemulihan bekas penagih dan bekas banduan itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa apabila mengemukakan tuntutan ganti rugi masing-masing RM10 juta kepada dua individu kerana memfitnah madrasah itu.
“Tak patut saman RM10 juta, dah kena saman RM10 juta, sebab itu kita tidak mahu menimbulkan masalah lagi, biar pihak berkuasa dapat buat siasatan gerakan-gerakan di belakang.
“Sepatutnya bila mahkamah sudah beri amaran kepada ibu budak ini, jangan buat cerita provokasi lagi. Ini menyusahkan rakyat dan masyarakat, ada lagi grup yang memanjangkan perkara ini, jadi benda ini nampak macam tak selesai,” katanya.
Tambahnya, nilai tuntutan ganti rugi sehingga RM10 juta itu diletakkan kerana nilai Islam dan madrasah itu tinggi, apatah mereka terbabit cuba menutup sekolah pondok dan pusat pemulihan itu.
“Sebab itulah wang kita letakkan RM10 juta kepada setiap individu yang disaman, termasuk media yang menyiarkan berita kononnya tempat ini militan dan sebagainya.
“Kita bukan nak berperang di mahkamah, atau nak sakiti sesiapa tetapi cuma kita disuruh oleh Allah mempertahankan diri, maruah dan madrasah kita, itu sahaja, bukan kita nak serang orang, tapi orang serang kita,” katanya.
Masridzi turut melahirkan rasa kesal apabila dua individu terbabit masih enggan memohon maaf sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan cara yang baik.
“Kita harap selesai cara elok, kita beri tempoh tujuh hari untuk mohon maaf, bukan kita tak nak bermaaf-maafan, tetapi sikap sombong, ego masih lagi nak berlawan, nak menegakkan benang basah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette