Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meninggalkan Menara Dato' Onn selepas selesai bermesyuarat dengan kepimpinan tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Top Five (lima pemimpin utama) UMNO yang diadakan hari ini berjalan lancar.

Salah seorang ahlinya yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, hasil mesyuarat akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Meeting (mesyuarat) berjalan baik, akan bawa ke MKT UMNO untuk diluluskan. Bincang apa? Bincang macam-macam hal,” katanya ketika keluar meninggalkan Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Khaled bagaimanapun enggan memperincikan isi kandungan mesyuarat yang diadakan hari ini.

Lima pemimpin utama UMNO antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan dan dua lagi naib presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri.

Awal hari ini, mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO yang dikatakan akan membincangkan persiapan dan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, Khaled memuatnaik beberapa keping gambar mengenai mesyuarat itu di Facebook.

Perjumpaan ini dipercayai bagi membincangkan berkenaan PRU-15 sebelum mesyuarat MKT UMNO berlangsung malam ini. – MalaysiaGazette