Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin (dua kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (tengah) mendengar penerangan daripada wakil Jabatan Kerja Raya melihat plan pembinaan lokasi tapak projek SMK Kota Warisan, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 30 SEPTEMBER 2022.

SEPANG – Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di sini bukan gula-gula untuk meraih undi atau populariti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, projek pembinaan sekolah itu disegerakan atas keperluan mendesak penduduk di kawasan tersebut.

“Gula-gula PRU-15?.Track record kami di KPM tak kira PRU ke tak PRU..Bandar Saujana Putra sebagai contoh, projek sekolah berkenaan terbengkalai sekian lama hingga penduduk di sana tunggu nak lihat sekolah dan tetapi bila saya masuk kementerian we proved it we deliver.

“Bukan sahaja di sini ya, saya sebut sebagai contoh di Klang, Shah Alam, tidak ada kaitan dengan PRU. Ia dibuat dibina atas rasa tanggungjawab bahawa kawasan-kawasan berkepadatan tinggi ini kita perlu selesaikan segera demi untuk kemudahan anak-anak kita.

“Kalau kita cakap tentang track record KPM, PRU atau tidak PRU bila kita melihat satu keadaan di mana memerlukan penelitian segera, we deliver,” katanya mengulas dakwaan kononnya projek sekolah berkenaan disegerakan pada musim PRU sebagai gula-gula menarik perhatian pengundi.

Sebelum itu beliau dikaitakan bakal menjadi calon Parti Bersatu untuk bertanding di Parlimen Putrajaya.

RadziĀ  terdahulu ditemani Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sebelum itu melawat dan meninjau tapak projek pembinaan sekolah tersebut di atas tanah seluas 4.86 hektar di kawasan perumahan baharu Kota Warisan.

Tambah Radzi, kawasan Kota Warisan mula diduduki penduduk sejak awal tahun 2001 dan sekolah menengah yang terletak paling dekat dengan penduduk adalah tiga buah sekolah iaitu SMK Dengkil dengan kapasiti murid 1, 800 orang, SMK Sri Sepang (kapasiti 2,200 murid) dan SMK Bandar Baru Salak Tinggi dengan kapasiti 2,400 murid pada radius antara lapan hingga 13 kilometer dan ia dianggap jauh.

“Jadi perancangan yang kita buat ini mengambil kira pembinaan dan pembukaan sekolah di perumahan baharu di sini dan jumlah penduduk yang akan meneruskan pendidikan di peringkat menengah akan meningkat nanti.

“Justeru itu, kita iklankan tender dan ia akan ditutup Oktober ini untuk menentukan kontraktor pembinaan projek SMK Kota Warisan dan Surat Setuju Terima (SST) akan diselesaikan pada awal Disember ini dan kemudian pembinaan akan dimulakan serta dijangakan siap pada September 2025.

“Jadi ini tentunya merupakan berita baik untuk penduduk di Sepang dan Kota Warisan kerana sebelum ini jarak untuk mereka hantar anak ke tiga buah sekolah sedia ada agak jauh dan sudah padat dengan pelajar yang ramai.

“Kita tidak mahu kelas-kelas dalam sekolah tersebut jumlah muridnya meningkat terlalu tinggi sebab itu kita perlu memastikan pembinaan projek sekolah baharu ini disegerakan,” katanya lagi.

Radzi berkata, apabila siap sekolah itu akan dilengkapi dengan 42 bilik darjah dengan kapasiti 30 hingga 35 orang pelajar dalam satu kelas yang diyakini akan memberi ruang yang cukup baik untuk penduduk sekitar untuk hantar anak mereka dengan fasiliti sukan, makmal dua tingkat dan kemudahan lain yang lebih baik dan selesa.

Justeru katanya, sekolah berkenaan juga akan disediakan sebuah kompleks atauĀ  satu bangunan khusus untuk murid-murid yang berkeperluan khas yang menjadi keutamaan KPM untuk memudahkan ibu bapa dalam pembinaan sekolah baharu ini. – MalaysiaGazette