Video tular dakwaan berlaku 'cubaan culik' berhampiran stesen minyak di Telok Panglima Garang pada Rabu sebelum tular di media sosial disiasat polis dan didapati tidak berlaku insiden seumpama seperti didakwa pengadu wanita.- Gambar ihsan PolisKuala Langat.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kejadian cubaan culik berlaku seperti didakwa ekoran penularan video tular di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang dekat sini seperti didakwa pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan video yang memaparkan seorang lelaki dilihat menghampiri sebuah kereta di lokasi kejadian yang didakwa sebagai cubaan culik oleh pengadu.

“Laporan berkaitan kejadian dakwaan cubaan culik itu dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang mana dia mendakwa kononnya seorang lelaki berkelakuan mencurigakan telah turun dari sebuah kereta dan menuju ke arah pintu belakang keretanya.

“Semasa kejadian berlaku, tiga orang anak mangsa berusia masing-masing berusia empat, dua dan setahun berada di tempat duduk penumpang di bahagian belakang dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, siasatan awal mendapati tiada sebarang cubaan culik seperti didakwa oleh pengadu dan video berkenaan tular di media sosial.

Sehubungan itu, siasatan lanjut berkaitan laporan yang dibuat sedang diteruskan polis bagi mengesahkan kejadian sebenar yang berlaku.

Ahmad Ridzwan juga menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan atau menyebarkan berita yang tidak sahih sebelum merujuk kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, tindakan undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan berita palsu.

Sebarang kenyataan atau penyebaran berita palsu boleh didakwa dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Rabu, tular video berdurasi satu minit 45 saat yang dimuatnaik di dalam media sosial mendakwa kejadian culik berlaku di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang.

Semasa kejadian, pengadu wanita itu meninggalkan keretanya jenis Nissan Almera di tempat letak kereta sebelum beberapa minit kemudian sebuah kereta Iswara Aeroback berwarna hitam berhenti di belakang keretanya sebelum kelihatan seorang lelaki keluar dari kereta tersebut.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, polis menyiasat dakwaan berlakunya kes penculikan di dua kawasan di bandar raya ini seperti yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata pihaknya mengesan satu mesej yang mendakwa berlaku kes cubaan menculik seorang pelajar sekolah tadika di Bandar Baru Uda di sini seperti laporan Bernama hari ini.

Katanya, hantaran itu turut menyatakan bahawa kes penculikan sering berlaku di Taman Perling dan Bandar Baru Uda yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai disertai oleh sekumpulan individu dan komuniti setempat, polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu telah ditemu bual.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang aduan tentang berlakunya kejadian tersebut dan tiada individu yang tampil ke hadapan bagi mengesahkan adanya cubaan menculik atau kehilangan anak seperti didakwa kumpulan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette