PERKEMBANGAN dalam sistem pendidikan mewujudkan pelbagai kategori buruh. Pendidikan tinggi sahaja tidak menjamin kepada kejayaan seseorang individu tetapi dengan adanya gabungan ilmu dan kemahiran dapat menghasilkan modal insan yang cemerlang. Seseorang yang lebih berpendidikan akan menghasilkan output yang lebih tinggi berbanding mereka yang kurang berpendidikan kerana pekerja akan dibayar mengikut produktiviti. Peningkatan dalam modal insan dapat melahirkan lebih ramai tenaga buruh mahir yang produktif dan berupaya membawa kepada penciptaan teknologi baru mahupun penggunaan teknologi yang lebih canggih. Ini sekali gus dapat menyumbang kepada agenda pembangunan sesebuah negara yang lebih mapan.
Peningkatan jumlah guna tenaga yang mempunyai pendidikan tinggi dalam sesebuah negara juga dapat menyumbang kepada mengadaptasian teknologi moden memandangkan negara sedang menuju ke arah mencapai revolusi industri 4.0. Ini menunjukkan bahawa proses pembangunan ekonomi bagi sesebuah negara dapat dipercepatkan. Oleh itu, pembangunan modal insan merupakan kunci utama bagi sesebuah negara untuk terus kekal dalam menghadapi persaingan ekonomi global. Kemajuan negara tidak dapat dicapai tanpa adanya modal insan yang berilmu dan berkemahiran. Ini kerana, apabila berlaku perubahan dalam ekonomi, mereka dapat menyumbang idea yang lebih kreatif, inovatif dan pantas untuk menangani sesuatu perkara.
Dalam mencapai status negara yang berpendapatan tinggi, setiap modal insan perlu mempunyai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET, berpengetahuan dan dapat menyumbang kepada peningkatan dalam produktiviti dan inovasi. Jika dilihat, kemajuan di negara berpendapatan tinggi adalah disebabkan oleh sumbangan pendidikan tinggi yang menyokong pembangunan pengetahuan, inovasi, tahap kemahiran dan produktiviti. Ini menunjukkan bahawa buruh mahir sangat diperlukan oleh sesebuah negara kerana dapat menyumbang kepada pengadaptasian teknologi baru mahupun melakukan sesuatu inovasi terhadap teknologi sedia ada. Setiap buruh perlu mempunyai pendidikan dan latihan kerana ianya dapat meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka dalam melaksanakan sesuatu bidang tugas.
Modal insan akan menjadi lebih inovatif dan berupaya menghasilkan output yang lebih berkualiti sekiranya mereka mempunyai tahap kemahiran dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Dalam arus globalisasi, permintaan tenaga kerja yang mahir, cekap dan berkebolehan tinggi semakin meningkat di pelbagai sektor dan ini membawa kepada peningkatan guna tenaga yang berdaya saing dan inovatif dalam pasaran buruh. Keperluan terhadap tenaga kerja lulusan tinggi yang melibatkan golongan profesional dan pengurusan atasan semakin meningkat. Keadaan ini secara tidak langsung menuntut supaya sistem pendidikan tinggi berperanan lebih agresif melatih dan menghasilkan pekerja yang mempunyai tingkat pengetahuan dan kemahiran selaras dengan keperluan semasa. Kemahiran pekerja dapat diperolehi hasil daripada pengalaman dalam pekerjaan yang dilakukan. Akan tetapi, yang lebih penting lagi, kemahiran yang diperolehi daripada pendidikan.
Penting bagi sesebuah negara memiliki modal insan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran tetapi juga memiliki sikap keusahawanan yang tinggi dan inovatif dalam merebut peluang yang ada dalam pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Penawaran modal insan yang memiliki pengetahuan dan kemahiran serta sepadan dengan permintaan industri juga menjadi asas utama dalam mencapai pasaran buruh yang cekap dan fleksibel, sekali gus membolehkan negara untuk mencapai pertumbuhan yang mapan dan inklusif. Berdasarkan kepada perkembangan peringkat global, negara perlu berhadapan dengan beberapa negara saingan terutamanya China yang kini mengalami perubahan drastik dalam pertumbuhan ekonomi mereka dan terkenal dengan bilangan guna tenaga yang ramai dan bayaran upah yang rendah.
Pembentukan modal insan di Malaysia perlu berlaku dengan lebih agresif agar negara mampu bersaing dengan lebih sempurna di peringkat antarabangsa. Guna tenaga mahir yang ramai dalam sesebuah negara juga dapat meningkatkan daya saing yang tinggi dalam kalangan buruh dan secara tidak langsung dapat membawa kepada peningkatan mobiliti dan kecekapan buruh. Oleh yang demikian, modal insan yang cemerlang bukan sahaja mempunyai tahap pendidikan tinggi bahkan perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran yang dapat digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh: Dr. Noorazeela Zainol Abidin
Pensyarah
Jabatan Perniagaan
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis