PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah bersiap sedia dengan segala aset dan tenaga sumber manusia untuk digerakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangkakan diadakan tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata sebagai sebuah institusi pendidikan, menjadi tradisi pihaknya sentiasa memberi sokongan dalam konteks keperluan untuk menggunakan bangunan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dan juga Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Ada banyak sekolah diwartakan sebagai pusat mengundi sama ada pada PRU, pilihan raya kecil mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) dan ia sentiasa dilaksanakan sejak dahulu lagi.
“Malah, kita juga sentiasa bersedia dari segi kelengkapan aset dan juga tenaga manusia untuk menghadapinya (musim banjir dan PRU) jika diadakan bila-bila masa sahaja ,” kata beliau dalam sidang media selepas hadir ke Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini. – MalaysiaGazette