Rozita

KUALA LUMPUR – Pengasas Jamu Ratu Malaya, Bonda Rozita Ibrahim mengakui status sebagai ibu membuatkannya malu membuat kandungan media sosial secara berlebihan untuk mencari populariti dan menaikkan jualan produknya.

Ibu kepada usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri itu juga tidak mahu memalukan anak-anaknya  selain membuat dirinya menyesal di kemudian hari.

Menurut beliau, maruah dirinya perlu dijaga apatah lagi tidak bersekolah tinggi dan demi untuk bersaing dengan mereka yang memiliki kecermelangan akademik.

“Kalau awak anak saya, malu tak ada emak ada macam itu? Sudah tentu malu dan kalau kita sebagai anak malu dan emak tidak malu, itu bukan satu yang bagus untuk generasi muda.

“Dan saya pula bersaing dengan orang yang ada akademik dan mereka tahu saya tidak berpendidikan. Jadi di mana saya hendak letak maruah, sudahlah bodoh, tidak sekolah dan tunjuk perangai bodoh.

“Itu bukan setakat bodoh tapi bodoh dan bangang. Nampak macam bahasa laser tapi itu fakta,” katanya selepas menganjurkan Bonda Fiesta Vaganza selama dua hari bermula semalam yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung di Batang Kali, Selangor.

Rozita telah berkecimpung dalam dunia perniagaan herba tradisional sejak dari tahun 1997 dan masih meneruskan perniagaannya sehingga hari ini termasuk memiliki resort dikenali Rumah Hutan Bonda Rozita Ibrahim,

Sebagai pengasas Sendayu Tinggi dan kini pengasas Jamu Ratu Malaya dan De Ratu, perkongsian beliau di media sosial sering memberi inspirasi kepada ramai wanita yang ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya sepertinya.

Berkongsi nasihat, Rozita berharap, usahawan wanita Melayu dan Muslim tidak merosakkan nama mereka hanya kerana mengejar keuntungan semata-mata dan menjadi hamba wang.

Jelas beliau lagi, walaupun mempunyai niat menghiburkan orang lain di media sosial, ia tidak manis apatah lagi dilakukan orang golongan wanita sekiranya hendak dibandingkan dengan lelaki.

Tambahnya, nasihat itu tidak ditujukan kepada sesiapa kerana keturunannya juga tidak terlepas melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak cakap orang lain sebab keturunan saya pun buat benda yang sama juga. Walaupun niat mereka menghiburkan tetapi kalau lelaki elok lagi, tapi kalau kita wanita? Orang hina Melayu, Islam buat macam ini. Malu saya dan jangan kerana duit kita jadi hamba,” kata wanita yang bakal mencecah usia 60 tahun itu.

Pada masa sama, Rozita menegaskan, mereka yang berjaya dalam perniagaan bidang bisnes tidak wajar menunjukkan secara berlebihan kejayaan mereka kepada umum.

“Saya pernah lalui zaman kejatuhan ekonomi, sangat teruk sebab baru mulakan bisnes. Ini kerana setiap 10 tahun  akan ada fasa kemelesetan ekonomi di negara ini.

“Jadi kita kena sentiasa kita bersiap dan tidak menuruti emosi atau nafsu syafwat kerana manusia selalu kalah dengan emosi gara-gara gangguan dalaman oleh syaitan.

“Bila kita terlebih menunjuk akan menyebabkan hilang fokus dengan bisnes. Bila tidak ada kewangan kukuh dan bisnes untukk menunjuk-nunjuk tapi sebenarnya bisnes adalah bertahan dan bukan tunjukkan kejayaan kita.

“Bila ada kewangan yang stabil dan apa yang berlaku, Insya-Allah tidak akan jatuh. Bagi yang hendak cuba perniagaan, usia bukan penghalang. Tapi kalau umur sudah pencen, saya nasihatkan jangan berniaga kerana semangat sudah lemah ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast