JOHOR BAHRU – Warga Johor menaruh harapan tinggi kepada kerajaan untuk terus memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat pada Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada hari Jumaat ini.
Rata-rata mereka, baik peniaga, golongan muda mahupun pekerja melahirkan keluh-kesah dengan cabaran yang dihadapi masing-masing ekonomi negara dibuka semula selepas melalui detik-detik sukar sepanjang pandemik Covid-19 selama dua tahun.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada Bajet 2023, rakyat Malaysia terus mengharapkan ‘berita gembira’ melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif ketika pembentangan nanti.
Penulis di Gaya Travel Magazine Ed Junaidi Abu Bakar, 43, berharap kerajaan terus memberi bantuan kepada pemulihan kepada sektor pelancongan negara dan perusahaan kecil dan sederha (PKS).
Jelasnya, sepanjang dua tahun negara berdepan dengan pandemik, sektor pelancongan secara keseluruhan terjejas.
Sektor yang menjadi antara penyumbang penting kepada negara ini hampir lumpuh, lantaran itu kerajaan perlu terus memperkasakan sektor ini.
“Kalau 15 tahun lepas kita boleh nampak pelancongan di Malaysia memang dapat bajet besar kerana ia menyumbang kepada pendapatan terbesar kepada ekonomi Malaysia.
“Tetapi apabila pandemik melanda, sektor ini terjejas teruk, justeru dengan pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara, sektor ini perlu dipulihkan sepenuhnya dengan pelbagai program bagi merancakkannya semula,
“Saya berharap kepentingan sektor ini mendapat perhatian kerajaan nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Nuar Mohd Diah
Sementara itu, Nuar Mohd Diah,41 pekerja sektor swasta, pula mahu kerajaan mengurangkan karenah birokrasi dalam pengurusan pinjaman-pinjaman kepada usahawan kecil dan PKS.
Tegasnya, walaupun kerajaan banyak menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan peniaga tetapi prosedurnya agak ketat sehingga mematahkan semangat peniaga untuk memohon.
“Sepatutnya bila peniaga ditawarkan bantuan pinjaman, mudahkanlah bukan menyulitkan dengan pelbagai prosedur.
“Mudahkan kami mendapat bantuan, guna sepenuhnya proses digital, tak perlu lagi pergi dari kaunter ke kaunter, isi borang A sampai Z,” katanya.
Nuar berkata, dalam keadaan mencabar, bank-bank atau agensi yang mengeluarkan bantuan tidak perlu memperkenalkan prosedur yang menyulitkan.
“Tolong dengar masalah peniaga, bantu peniaga sewajarnya supaya golongan seperti kami dapat bangkit semula,” ujarnya.
Sementara itu, Hady Armeen, 23, penuntut universiti awam mahu Bajet 2023 mengurangkan beban pelajar daripada golongan B40 terutama isu masalah rumah sewa sepanjang tempoh pengajian.
“Sekarang ini kita boleh lihat di media sosial dimana pelajar meluahkan perasaan sedikit kesal kerana susah untuk mendapatkan rumah sewa dengan harga yang murah. Penyewa mengenakan harga deposit yang sangat tinggi hingga menyebabkan keluarga dan pelajar itu sendiri terbeban.
“Ini masalah baharu buat pelajar kerana sekarang penuntut universiti perlu hadir secara fizikal ke kampus. Mungkin kerajaan boleh berkerjasama dengan universiti dengan mencari hostel-hostel yang tidak digunakan untuk disewakan kepada pelajar dengan harga munasabah,” katanya.
Seorang anak muda Muhammad Shahfizul Yunus, 27, pula mahu kerajaan memberi lagi kelonggaran pinjaman perumahan yang masih ketat untuk golongan muda sepertinya.
Disebabkan syarat yang ketat itu, ramai anak muda terlepas peluang dan sukar membeli aset tersebut.
“Saya lebih concern berkaitan pinjaman perumahan kepada anak anak muda, terutamanya bagi mereka yang menjadi peminjam PTPTN. Meskipun kami ini berhutang dengan PTPTN namun hutang itu tidak sepatutnya menyekat anak muda membeli rumah.
“Saya cadangkan kerajaan mengurangkan kadar faedah dan melonggarkan syarat supaya kami diberi peluang memiliki aset untuk masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette