Sebuah kereta didakwa terbakar secara tiba-tiba di Stesen Petron di Segambut Dalam, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pengguna Stesen Petron di Segambut Dalam di sini mengalami detik cemas apabila sebuah kereta yang diparkir berhampiran pam minyak tiba-tiba terbakar semalam.

Tragedi berisiko itu juga dirakam melalui kamera litar tertutup yang berdurasi satu minit di stesen berkenaan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rosdi Yussof berkata, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.33 pagi, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas dengan kekuatan seramai tujuh anggota dan sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta model Nissan Serena yang berada di tempat pengisian minyak terbakar dengan sendirinya.

“Kemusnahan kebakar dianggarkan lima peratus di bahagian tangki minyak” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette