KUALA LUMPUR – Kumpulan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel rasa teruja apabila dapat berduet dengan pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Naim Daniel menerusi lagu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat.
Lagu itu adalah lagu ciptaan Naim bersama Adib Hamdi sebagai percaturan baharu kumpulan Dolla yang bakal membawakan lagu bergenre balada selepas kejayaan lagu pop mereka seperti Impikan, Bada dan Berani yang terbukti berjaya dan meraih jutaan tontonan di YouTube.
Menurut Sabronzo, lagu itu adalah sebuah karya yang bukan hanya mengisahkan tentang cinta malah setiap individu boleh mempunyai definisi tersendiri terhadap lagu yang sama.
“Lagu ini boleh dikatakan sangat jelas dan bukan hanya berkisarkan cinta. Walaupun lirik dan melodinya kedengaran ke arah itu tetapi sesiapa sahaja berhak menentukan maksud lagu ini mengikut situasi yang sedang mereka hadapi.
“Namun mesej utama lagu ini adalah mengenai muhasabah diri dimana kita mengharapkan orang lain dapat merasai dugaan atau situasi yang sedang ditanggung. Saya akui lagu ini agak beremosi dan sedih.
“Walaupun lagu ini adalah sebuah karya yang berat untuk dibawakan kerana kali pertama juga kami memberanikan diri membawa genre sebegini tapi kami bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan hebat ketika proses rakaman dijalankan.
“Setiap anggota kumpulan Dolla diberikan bahagian untuk dinyanyikan dan kami sama-sama membantu dalam memperkemaskan lagi lagu ini supaya menjadi hadiah yang indah buat peminat,” katanya.
Sementara itu itu, Tabby mengaku gembira apabila Dolla diberi peluang bekerjasama dengan Naim, lebih-lebih lagi penyanyi berbakat besar itu tidak lokek berkongsi ilmu bagi ‘menghidupkan’lagu berkenaan supaya dapat menyentuh emosi pendengar.
“Naim banyak membantu danmemberikan tunjuk ajar bagi memenuhi ekspektasi yang diinginkan. Sebelum rakaman bermula kami akan meminta Naim untuk menyanyikan bahagian tertentu yang ingin ditekankan supaya peminat dan pendengar dapat menghayati lagu ini dengan penuh emosi.
“Selain bantuan Naim, kami juga diajar oleh Cikgu Shafi terlebih dahulu dalam memastikan setiap bait-bait lirik yang disampaikan mengikut melodi lagu ini selain mengajar kami untuk lebih menjiwai ketika proses rakaman,” katanya.
Sementara itu, Naim berkata, lagu yang ditulis sejak lebih setahun lalu itu diharapkan dapat diterima ramai memandangkan pendengar akan melihat sisi berbeza Dolla.
“Mungkin ini adalah lagu paling sedih pernah saya hasilkan. Lagu ini mengisahkan semangat yang hilang terhadap sesuatu perkara terutama berkaitan cinta. Karakter lagu ini juga sedih dan pemilihan tajuk juga saya pilihpaling mudah dan menangkap di jiwa pendengar.
“Lagu ini sudah ditulis lebih setahun setengah dan liriknya sangat mudah difahami setiap lapisan masyarakat. Lagu ini mengajak kita untuk sentiasa mengaku khilaf dan bagaimana nak luahkan sesuatu kepada orang.
“Saya gunakan bahasa yang sangat mudah dan bersesuaian dengan masyarakat sekarang. Pada awalnya lagu ini dicipta dan sesuai dibawakan oleh penyanyi lelaki tapi dalam masa sama saya rasa ada sesuatu yang boleh ditambah bagi memberi lebih warna.
Mengenai penghasilkan muzik video lagu itu, sesi penggambaran dijalankan di Pulau Indah, Klang dan proses mengambil masa kira-kira 16 jam untuk disiapkan.
Muzik video ini juga diarahkan oleh Chuan Looiyang baru sahaja memenangi kategori Muzik Video Terbaik di AIM23 baru-baru ini. – MalaysiaGazette