Ketibaan pesawat sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 03 OKTOBER 2022.

SEPANG — Selepas tujuh tahun menghentikan penerbangan ke Malaysia, Kuwait Airways hari ini menyambung semula operasinya di negara ini.

Pengerusi ATS Global (ATS Global), Datuk A Aziz Ahmad berkata, syarikat penerbangan itu akan menawarkan dua penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Bandar Kuwait dan kekerapannya akan ditambah berdasarkan kepada permintaan.

 “Dan Insya-Allah apabila permintaan meningkat pada November kita akan naikkan (kekerapan penerbangan sebanyak) tiga kali seminggu dan seterusnya kalau permintaan bagus kita mungkin akan tingkatkan lagi frekuensi penerbangan” katanya.

Pengarah Ats Global Travel & Charter, Datuk A Aziz Ahmad bercakap kepada media selepas Ketibaan punumpang Penerbangan Sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 03 OKTEOBER 2022.

ATS Global merupakan Ejen Jualan Am (GSA) Kuwait Airways di Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan pengoperasian penerbangan, jualan tiket dan aduan.

Terdahulu beliau bersama-sama Pengurus Besar Serantau Kuwait Airways, Ali Alkhuzaiem, menyambut ketibaan kumpulan penumpang pertama Kuwait Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Boeing, B777-300ER dengan kapasiti 304 penumpang itu berlepas pada jam 10.40 malam waktu Kuwait dan mendarat di KLIA pada jam 11.40 pagi.

Pengurus Besar Serantau Kuwait Airways, Ali Alkhuzaiem (tengah) menyambut ketibaan punumpang dengan memberi bunga ros pada Penerbangan Sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 03 OKTEOBER 2022.

Pesawat tersebut akan berlepas pulang pada jam 5.30 pagi esok.

Selain Kuala Lumpur, Kuwait Airways menawarkan perkhidmatan di dua negara ASEAN, iaitu Thailand (Bangkok) dan Indonesia (Jakarta).

A Aziz berkata, laluan yang dilancarkan pada hari ini menawarkan potensi yang nesar kerana ramai warga Kuwait dan Negara-Negara Arab Teluk (GCC) mahu ke Malaysia.

“Kita pun dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19, dan menjangkakan frekuensi akan meningkat pada masa depan dan ia merupakan suatu perkara yang bagus untuk negara, lebih-lebih lagi apabila ia membawa masuk pelancong ke dalam negara” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, ATS Global bakal menjadikan Lapangan terbang Antarabangsa Kuching (KCH) sebagai hab umrah untuk Indonesia, Brunei dan selatan Filipina. – MalaysiaGazette