Sebanyak 300 kg sampah berjaya dikutip dan dikumpulkan  oleh peserta yang menjayakan program ‘Kudah’ Kutip Sampah Sambil Riadah di Pinggir Muara Sungai Balok dalam tempoh empat jam di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Sebanyak 300 kilogram (kg) sampah dikutip dan dikumpulkan sempena program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di pinggir muara Sungai Balok dalam tempoh empat jam semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, walaupun dalam keadaan hujan  namun ia tidak menghalang para peserta menjayakan program itu.

Menurutnya, kesedaran sivik penjagaan alam sekitar masih di tahap rendah berikutan masih banyak sampah seperti botol minuman, plastik dan pakaian di kawasan muara sungai ditemui.

“Mungkin kesedaran orang kita tentang penjagaan alam sekitar belum cukup tinggi, itu realiti yang terpaksa kita akui. Kesedaran kepada orang awam tentang keperluan menjaga kebersihan perlu diterapkan kepada mereka terutamanya di tempat awam termasuk kawasan yang tersorok.

“Alam sekitar perlu dijaga oleh semua pihak seperti program pada hari ini kita pilih kawasan yang dikunjungi para pemancing dan individu yang berkhemah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Andasura, program KUDAH merupakan program yang diusahakan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

Ia yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama beberapa buah kilang di Gebeng berkolaborasi bersama Balok River Adoption Program (BRAP).

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Dr. Norhazni Mat Sari dan Pengerusi BRAP Kamaruzzaman Zahari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast