Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Tidak perlu meningkatkan simpanan atau pembelian dolar AS secara ketara berikutan penyusutan nilai semasa ringgit akibat pengukuhan dolar AS dan korporat Malaysia boleh membantu mengekalkan situasi pasaran yang teratur dengan mengambil langkah yang tidak memburukkan lagi keadaan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pasaran pertukaran asing dalam negara kekal cair dan semua keperluan mata wang asing perniagaan dapat dipenuhi secara cekap.

“Oleh itu, tidak perlu meningkatkan simpanan atau pembelian dolar AS. Korporat dan institusi kewangan domestik juga perlu berhemat dalam menguruskan lembaran imbangan mereka.

“Ini termasuk mengelak daripada mewujudkan kelemahan baharu terutamanya daripada hutang mata wang asing dan ketidakseimbangan kewangan serta melindung nilai risikonya dengan sewajarnya,” katanya dalam ucapan mengenai “Navigating Malaysia’s Economic Transition in a post-COVID world” pada Khazanah Megatrends Forum 2022 hari ini.

Beliau berkata, perniagaan dan pelabur yang mendapat manfaat daripada penyusutan nilai ringgit juga perlu mengambil peluang daripada ringgit yang lemah.

Misalnya, menurut Nor Shamsiah, bagi mereka dalam industri pelancongan dan eksport untuk meningkatkan pengeluaran dan memanfaatkan peluang ini, dan bagi mereka yang mempunyai operasi di peringkat global, untuk melabur semula dalam negara.

Dalam aspek yang lebih luas, katanya sebagai sebuah ekonomi terbuka, keutamaan dasar bagi Malaysia ialah mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga dan mengukuhkan lagi asas ekonomi melalui pembaharuan yang diperlukan.

“Ini akan memberikan sokongan yang lebih baik kepada ringgit daripada menggunakan kawalan modal atau tambatan semula seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak, yang akan memberikan lebih banyak kemudaratan kepada ekonomi,” kata Nor Shamsiah.

Pada 1.37 tengah hari, mata wang tempatan berada pada 4.6485/6515 berbanding dolar AS daripada 4.6400/6445 pada pembukaan pagi ini. – BERNAMA