Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Secara sinis, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta ahli-ahli politik di negara ini meminda Perlembagaan agar tidak mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada bulan-bulan tertentu.

Ia kerana, seandainya PRU pada bulan Oktober dan Disember, akan dikatakan tidak menghormati Deepavali dan Krismas.

”Bulan Januari dan Februari pula sambutan Tahun Baru Cina manakala Mac, bulan Ramadan dan April sambutan Aidilfitri.

“Bulan Mei sambutan Wesak Day, Pesta Kaamatan dan Jun, Hari Raya Haji,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sindiran itu dibuat berikutan ada pihak yang ‘bising’ jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, pindaan itu perlu melibatkan pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

Beliau berkata demikian menyindir kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang  menyatakan jika Parlimen dibubarkan bulan ini ia bermakna kerajaan tidak menghormati kaum India yang akan menyambut Deepavali tidak lama lagi.

Sebelum itu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada minggu lalu membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Gesaan UMNO itu mendapat pelbagai reaksi kurang senang daripada parti-parti pesaingnya dengan alasan negara akan berdepan dengan fenomena air pasang dan banjir tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette